top of page

MA63 amanah perlu dilunaskan, perkara dipersetujui mesti dilaksana – PM

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
DS Anwar (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026 di Kota Kinabalu, Sabah
DS Anwar (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026 di Kota Kinabalu, Sabah

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar lembaran sejarah atau dokumen yang dikenang setiap tahun, sebaliknya amanah dan iltizam nasional yang mesti dilunaskan dengan ikhlas, adil dan penuh tanggungjawab.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara yang telah dipersetujui perlu dilaksanakan, manakala isu yang masih belum selesai hendaklah terus dirunding secara bijaksana dan dalam semangat muafakat.


"MA63 bukan sekadar lembaran sejarah atau dokumen yang dikenang saban tahun, ia adalah amanah dan iltizam nasional yang mesti kita lunaskan dengan ikhlas, adil dan penuh tanggungjawab.


"Apa yang telah dipersetujui harus dilaksanakan, manakala perkara yang masih belum selesai mesti terus dirunding dengan kebijaksanaan, keikhlasan dan semangat muafakat," katanya dalam muat naik di media sosial selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026 di Kota Kinabalu, pagi tadi.


PM, DS Hajiji dan Primier Abang Johari mengadakan perbincangan ringkas sebelum mesyuarat
PM, DS Hajiji dan Primier Abang Johari mengadakan perbincangan ringkas sebelum mesyuarat

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg serta barisan pimpinan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.


Menurut Anwar, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada kemajuan pelaksanaan persetujuan di bawah MA63 selain meneliti beberapa perkara strategik yang menyentuh secara langsung kepentingan serta masa depan Sabah dan Sarawak.


Antara perkara utama yang dibincangkan ialah Inisiatif Pemerkasaan Keselamatan Sempadan Sabah dan Sarawak, pertambahan perjawatan serta Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak.


Turut dibincangkan ialah Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan serta cadangan pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.


Anwar berkata, setiap perkara diteliti secara tuntas dalam semangat Persekutuan yang kukuh bagi memastikan hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak sentiasa dihormati, dipelihara dan diterjemahkan melalui keputusan serta pelaksanaan yang berkesan.


"Kerajaan Persekutuan akan terus membuka seluas-luasnya ruang perbincangan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, berteraskan semangat perpaduan sebagai rakan dalam Persekutuan, sekali gus memastikan pembangunan dan kemakmuran negara dapat dirasai secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat," katanya.


Anwar turut memaklumkan bahawa beliau akan kembali ke Kuching, Sarawak minggu depan bagi meraikan Hari Malaysia.


"InsyaAllah, kita akan ketemu semula di Kuching, Sarawak minggu hadapan bagi meraikan Hari Malaysia, menginsafi sejarah pembentukan negara dan memperteguh tekad untuk membina sebuah Malaysia yang lebih utuh, adil dan sejahtera untuk semua," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page