top of page

M'sia kongsi kepakaran perbankan Islam, industri halal dengan Kyrgyz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 25
  • 2 min read
Presiden Rep. Kyrgyz dan PM Anwar bertukar Memorandum Persefahaman. Foto: FB Anwar
Presiden Rep. Kyrgyz dan PM Anwar bertukar Memorandum Persefahaman. Foto: FB Anwar

Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam bidang perbankan Islam dan industri halal bersetuju bekerjasama dengan Republik Kyrgyz dalam membangunkan kedua-dua bidang tersebut di republik tersebut.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Presiden Sadyr Zhaparov berkata kedua-dua negara berbincang bagi mewujudkan sistem kewangan yang lebih baik melalui penubuhan bank Islam.


"Sudah tentu kita bincangkan soal perbankan Islam, halal, pembinaan, kewangan dan program termasuk cadangan penubuhan bank Islam.


"Akan ada mesyuarat susulan antara menteri-menteri kita. Anda (Zhaparov) membawa menteri utama ke Malaysia dan rakan menteri saya akan memberi maklum balas," kata beliau dipetik dalam sidang media sempena lawatan Presiden Kyrgyz di Putrajaya.


Zhaparov melakukan lawatan sulungnya selama dua hari ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan Presiden pada Januari 2021.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama itu turut membantu memperkukuh persefahaman dan persahabatan selain memastikan projek dua hala dalam bidang perdagangan serta pelaburan dapat diteruskan.


Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Kyrgyz turut bersetuju untuk meneroka Pelan Tindakan Kerjasama Halal yang dicadangkan oleh Zhaparov.


"Perkara ini akan diteroka dengan lebih mendalam dan sudah tentu anda (Kyrgyz) mempunyai keupayaan besar dalam tenaga hidro, tenaga hijau serta tenaga boleh diperbaharui yang sangat menarik minat Malaysia untuk difahami, dikaji dan dimanfaatkan," katanya.


Anwar berkata Malaysia dan Kyrgyz turut bersetuju mempertingkat kerjasama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan dengan tumpuan diberi kepada usaha meningkatkan hubungan antara rakyat serta memperluas potensi sosial serta ekonomi kedua-dua negara.


Tambah beliau Malaysia akan memberikan bantuan teknikal dan pendidikan kepada rakyat Kyrgyz melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).


"Institusi kami sudah tentu bersedia untuk membantu mengenal pasti individu yang boleh dilatih dan kami amat menghargai sekiranya dapat melaksanakan program pertukaran bersama anda," katanya.


Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan langkah meningkatkan kerjasama dua hala perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh diperbaharui dan tenaga hijau, industri halal, komoditi pertanian, pelancongan, pendidikan dan bantuan pembinaan kapasiti melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).


Sejumlah tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai kedua-dua negara melibatkan bidang pelancongan, transformasi digital dan keselamatan siber, pendidikan tinggi, kesihatan, promosi perdagangan, kerjasama ekonomi serta kerjasama saintifik dan penyelidikan, selain pertukaran nota dalam sektor belia dan latihan untuk diplomat serta surat hasrat kerjasama perundangan.


Pada 2024, Kyrgyz merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM40 juta (AS$8.74 juta).


Eksport utama Malaysia ke republik berkenaan melibatkan produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit dan jentera, kelengkapan serta alat ganti, demikian menurut Wisma Putra.


Import utama Kyrgyz terdiri daripada bahan kimia dan produk kimia, produk elektrik dan elektronik serta makanan diproses.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page