M'sia–China kukuh jalinan strategik, teroka peluang baharu manfaat bersama


Malaysia dan China akan terus memperkukuh jalinan strategik serta meneroka bidang kerjasama baharu demi kepentingan rakyat, keamanan dan kemakmuran rantau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing, sambil merakamkan penghargaan atas komitmen dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan dalam memperkukuh hubungan kedua-dua negara.
Menurut Anwar, hubungan Malaysia–China telah berkembang dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, teknologi, pendidikan dan kebudayaan, di samping kerjasama strategik dalam projek serta sektor baharu.
Antara bidang yang diketengahkan ialah ECRL, teknologi 5G, kecerdasan buatan (AI), pelabuhan dan industri nadir bumi, yang menurut beliau membuka ruang baharu untuk manfaat bersama.
"Malaysia dan China telah membina jalinan yang kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, teknologi, pendidikan dan kebudayaan, malah kerjasama strategik seperti ECRL, teknologi 5G, kecerdasan buatan, pelabuhan dan industri nadir bumi turut membuka ruang baharu untuk manfaat bersama," katanya dalam muat naik di media sosial.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut menerima kiriman khas daripada Perdana Menteri China Li Qiang berupa sebuah buku mengenai Hangzhou, yang baru-baru ini dikunjungi beliau dan merupakan kampung halaman Li.
"Saya turut menerima kiriman khas daripada Premier Li Qiang berupa buku mengenai Hangzhou, yang baru-baru ini saya kunjungi dan merupakan kampung halaman beliau. Saya amat menghargai ingatan dan perhatian tersebut," katanya.
Anwar berkata beliau amat menghargai ingatan dan perhatian tersebut, sambil menegaskan bahawa hubungan Malaysia–China akan terus diperkukuh melalui kerjasama sedia ada dan penerokaan bidang baharu.
Beliau berharap jalinan berkenaan terus memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara serta menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran serantau.




Comments