top of page

Lupakan 'Langkah Dubai', Kerajaan Perpaduan sukar digugat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 3, 2024
  • 4 min read


Oleh: Helmi Mohd Foad


ANALISIS: Sambutan Tahun Baharu 2024 berlalu dengan penuh aman dan sentosa. Seluruh rakyat berazam untuk meningkatkan kejayaan pada tahun mendatang. Mereka mahu negara terus makmur dan bukannya porak peranda dengan berlaku ketidakstabilan politik.


Sebab rakyat tahu, 2024 merupakan tahun penuh cabaran dalam keadaan krisis geopolitik dunia masih belum berakhir selain masalah perubahan iklim yang mungkin berlakunya pelbagai bencana alam.


Rakyat Jepun misalnya terpaksa menyambut tahun baharu dengan tsunami susulan gempa bumi yang menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan.


Bagi rakyat Pantai Timur Semenanjung, mereka sambut tahun baharu dalam banjir di Pusat Pemindahan Sementara.


Namun masih ada lagi manusia berjiwa serakah, apabila dikatakan merancang perubahan kerajaan menjelang tahun baharu atau dinamakan sebagai Langkah Dubai.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengakui mengetahui tentang “Langkah Dubai” sebelum individu terbabit mendarat di bandar raya negara itu.


Meskipun ada kritikan dilontarkan terhadap Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang membuat pendedahan tentang kewujudan gerakan tersebut tanpa mengemukakan bukti secara jelas, ia sudah cukup untuk memberikan peringatan kepada pihak tertentu bahawa perancangan mereka cukup senang dihidu.


Spekulasi “Langkah Dubai” tercetus minggu lalu susulan dakwaan berlaku pertemuan antara pemimpin pembangkang dan beberapa wakil dalam kerajaan, ketika kunjungan mereka ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).


Percubaan tukar kerajaan sia sia


Perbincangan itu dikatakan bagi membahagikan tugas antara “ejen” bagi mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.


Sebenarnya sebarang percubaan untuk menggugat Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperoleh sokongan majoriti lebih dua pertiga hanya sia-sia.


Pertama, pembangkang sudah mengetahui pertukaran kerajaan secara 'tebuk atap' sudah tertutup peluangnya ekoran wujudnya Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Dewan Rakyat pada tahun 2022 lagi, iaitu ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN).


Peluang untuk menukar sokongan di Dewan Rakyat yang menjadi platform paling sah juga tidak pernah berlaku malah pembangkang terutama Ketuanya, Datuk Seri Zainuddin Hamzah dan ketua-ketua parti seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri ibarat hilang taring setiap kali berada di pentas Parlimen.


Sebaliknya Perdana Menteri tidak pernah gentar berdepan dengan barisan pembangkang setiap kali sidang Dewan Rakyat atau Dewan Negara.


Pas terutamanya hanya sekadar bermain sentimen untuk menjentik minda orang Melayu dengan memainkan propaganda 'Islam terancam' dan 'Islam liberal' yang akhirnya hanya menjelaskan lagi watak ekstrem dan melampau mereka.


Ia jelas ditolak masyarakat Islam yang mahukan fahaman sederhana apatah lagi golongan bukan Islam yang melihatkan parti itu tidak sesuai memimpin masyarakat majmuk di negara ini.


Sebagaimana pernah disebut, atap dan dinding Kerajaan Perpaduan bukan atap kaca seperti anggapan Abdul Hadi sebelum ini, sebaliknya kini adalah atap dan dinding konkrit.


Namakanlah apa sahaja langkah sama ada Dubai atau London sekali pun, kedudukan Kerajaan Perpaduan tidak mudah digugah pada masa ini. Pendedahan J-Kom tersebut tidak bermaksud untuk menunjukkan Kerajaan Perpaduan resah dan gelisah kerana ada gerakan untuk tumbangkan kerajaan.


Sifir gerakan tersebut sebenarnya mudah dibaca iaitu sudah pasti mereka ingin menarik sokongan sebahagian 30 Ahli Parlimen UMNO. Dengan perubahan Ahli Parlimen di Semenanjung, mereka mengintai sokongan dari Sabah dan Sarawak.


Apa keperluan bentuk kerajaan baharu?


Namun persoalannya, mengapa perlu wakil rakyat UMNO untuk berpaling tadah sedangkan mereka sudah sedia mendapat tempat dalam kerajaan perpaduan, malah dengan rombakan Kabinet baru-baru ini, lebih ramai pemimpin utama UMNO dibawa masuk dalam pentadbiran kerajaan.


Seperti kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, jika 30 orang itu keluar sekali pun, kerajaan masih kekal dengan sokongan 122 ahli parlimen.


Kerajaan perpaduan kini juga stabil dengan sokongan blok Sarawak, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS). Premier Sarawak dan GPS memainkan peranan penting dalam hal itu, kata Anwar dipetik.


Tan Sri Abang Johari Abang Openg menyatakan GPS pimpinannya hanya mempunyai 23 kerusi di Parlimen tidak 'paloi' atau bodoh untuk menyertai pakatan tumbangkan kerajaan semata-mata mahu menerima tawaran jadi PM.


Naib Presiden Kanan PBB Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menolak khabar angin tersebut mengulangi bahawa keutamaan GPS ialah mempunyai kerajaan stabil dan kukuh dengan mengulangi sokongan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.


Katanya GPS tidak mempunyai masa untuk melayan drama politik sebaliknya mahu fokus semua usaha atas pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, katanya dipetik Borneo Post.


Era kecamuk politik 2020 berlalu


Keadaan pada masa ini jauh berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 2020 apabila berlakunya Langkah Sheraton hingga menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan dan juga tumbangnya Muhyiddin ketika menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum diganti dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Persoalannya, mengapa masih ada kedengaran cerita mahu menukar kerajaan setelah wujudnya kestabilan selama setahun di bawah pimpinan Anwar malah seramai lima orang Ahli Parlimen pembangkang turut memberikan sokongan kepada Perdana Menteri?


Amat malang sekiranya Pas turut termasuk dalam golongan yang cuba melakukan kerosakan dalam politik negara ini. Sepatutnya mereka segera insaf dan menerima takdir bahawa negara sekarang dipimpin oleh sebuah kerajaan yang meliputi seluruh kaum dan agama serta etnik di negara ini dengan Islam terus kekal sebagai agama rasmi, raja didaulatkan dan hak Melayu dipertahankan. Apa lagi yang mereka mahu?


Kerajaan Perpaduan mempunyai tugas getir bermula tahun ini sehinggalah tamat penggal menjelang 2027 atau 2028 untuk menentukan kestabilan politik terus terjamin dan ekonomi negara dipacu dengan lebih baik serta kebajikan rakyat dipelihara.


Sebarang pertukaran kerajaan hanya perlu difikirkan untuk Pilihan Raya Umum ke-16 nanti. Rakyat boleh sama-sama berfikir, sekiranya kerajaan perpaduan menunjukkan prestasi yang baik, mereka termasuk penjawat awam pasti membuat pilihan untuk mengekalkan kestabilan untuk penggal akan datang.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page