KPT pertimbang luaskan pendidikan percuma PTPTN pelajar miskin IPTS
- Suara Keadilan

- Mar 4
- 1 min read

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mempertimbangkan cadangan memperluas inisiatif pendidikan percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar miskin.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, berkata perkara itu telah dibincangkan di peringkat kementerian bagi memastikan pelajar di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk universiti milik kerajaan negeri yang layak, khususnya penerima Biasiswa Anak eKasih, tidak tercicir daripada menerima bantuan.
"Kita tidak boleh terlepas pandang fakta bahawa universiti-universiti milik kerajaan negeri juga dikategorikan sebagai universiti swasta. Itu betul, dan bukan semua pelajar yang memasuki IPTS berasal daripada keluarga berpendapatan tinggi.
"Kita akan cuba mencari jalan dan mengambil langkah-langkah supaya inisiatif ini lebih inklusif. Kita juga akan meneliti kedudukan fizikal serta perbelanjaan yang dikeluarkan.
"Memang kali ini kos agak besar, tetapi kita tidak menolak usaha untuk meluaskan inisiatif ini kepada pelajar-pelajar yang lebih layak atau berkelayakan di institusi swasta pada masa hadapan," katanya di Dewan Negara pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Norhasmimi Abdul Ghani berkenaan mekanisme pemantauan yang digariskan kerajaan bagi memastikan inisiatif pendidikan percuma PTPTN kepada 10,000 pelajar miskin benar-benar memanfaatkan kumpulan sasar.
Sementara itu Adam Adli menegaskan bahawa penerima pendidikan percuma PTPTN tidak dibenarkan menerima dua pembiayaan serentak daripada penaja berbeza bagi memastikan agihan dibuat secara adil dan telus.
Jelasnya, setiap permohonan akan disemak silang dengan data eKasih serta agensi penaja lain, manakala tindakan penamatan serta-merta akan dikenakan sekiranya berlaku pelanggaran syarat atau pemalsuan dokumen.




Comments