Lulus usul terajui PN: Pas rakan kongsi politik tidak konsisten
- Suara Keadilan

- Sep 24
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Usul diluluskan dalam Muktamar Pas ke-71 minggu lalu yang menegaskan parti itu perlu mengabil alih teraju gabungan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan sikap parti Islam itu yang sering mahu 'merebut kuasa' daripada sekutunya.
Bagi Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan, Pas dilihat mempunyai rekod kerjasama politik yang tidak konsisten berdasarkan pengalaman berada dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) pada 2008 - 2014 lalu.
Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum 2013, Pakatan Rakyat pernah bersepakat menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri (PM) ke-7, namun Pas kemudiannya mengubah pendirian dengan mencalonkan nama Tengku Razaleigh Hamzah dari UMNO-BN yang pada waktu itu merupakan musuh politik PR sebagai calon PM.

''Kita sendiri di KEADILAN semasa dalam Pakatan Rakyat mengalami pengalaman serupa,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas mengenai usul yang diluluskan dalam Muktamar Tahunan Pas minggu lalu untuk mengambil alih teraju kepimpinan PN dari Bersatu.
Pas juga sebelum ini sering mencalonkan secara sepihak tokoh kegemaran mereka sebagai ketua lalu cuba mendominasi pendapat parti komponen.
Mengulas lanjut, Amidi berpandangan, pendekatan politik Pas yang kelihatan lebih menumpukan kuasa berbanding memperjuangkan kepentingan rakyat secara menyeluruh hanya menyukarkan mana mana parti yang bekerjasama dengan parti itu.
Beliau berpendapat, Pas tidak sebagaimana yang diuar uarkan sebagai parti jihad Islam kerana berdasarkan sejarah, terutama ketika kepimpinan Presiden Hj Hadi Awang, parti itu sering berjuang ke arah kuasa dan kedudukan.
''Kalau untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, bukan sekadar matlamat itu betul, tapi caranya juga mesti betul,'' ujarnya.
Dalam pada itu, Amidi mendakwa, Pas sebelum ini dilihat menggunakan imej Bersatu untuk menampilkan diri sebagai parti yang sederhana dalam politik, tanpa sikap ekstrem atau berlebihan.
Namun hakikatnya beliau berpendapat, Pas lebih memberi fokus kepada kelompok tertentu dan merasakan hanya mereka layak memperjuangkan Islam, sehingga sering mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham terhadap pihak lain.
Untuk rekod, perebutan Pas terhadap kepimpinan PN mula kelihatan apabila pemimpin parti itu enggan mengiktiraf calon PM dari Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN menjelang Muktamar Tahunan Pas minggu lalu.
Perebutan menjadi lebih hebat apabila terdapat pemimpin Pas mendakwa Bersatu banyak bergantung kepada jentera parti Islam itu untuk menang pilihanraya dan tidak sepatutnya pemimpin parti berkenaan kekal mengetuai gabungan dan dinamakan sebagai calon PM untuk Pilihan Raya Umum ke 16.









Comments