“Luluh melihat guru menangis” – Fadhlina tekad perkukuh keselamatan sekolah
- Suara Keadilan
- 5 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berikrar akan memperkukuh langkah keselamatan di sekolah susulan beberapa kejadian jenayah membabitkan pelajar yang berlaku dalam kawasan sekolah kebelakangan ini.
Sambil menzahirkan rasa dukacita atas beberapa insiden membabitkan pelajar sekolah yang dilaporkan baru-baru ini,beliau berkata, pihaknya memandang serius setiap insiden dan komited memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid dan warga pendidik sentiasa terjamin.
"Hanya Tuhan yang tahu betapa dalamnya kesakitan ini. Saya luluh melihat para guru dalam keadaan lara dan gundah menangisi tragedi ini.
"Saya dan timbalan saya (Wong Kah Woh) akan mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden ini. Kami akan lakukan yang lebih baik selepas ini," katanya menerusi satu hantaran di Facebook
Terdahulu, Fadhlina dan Kah Woh melawat sekolah di Bandar Utama, lokasi seorang pelajar perempuan 16 tahun mati ditikam rakan sekolahnya pada Selasa lalu.
Menerusi hantaran sama, Fadhlina menyeru semua pihak termasuk guru, ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) agar terus berganding bahu membantu KPM memperkukuh sistem sokongan psikososial di sekolah.
"Kita akan terus menambah baik langkah keselamatan dan memperkukuh budaya keprihatinan di sekolah. Reformasi ini akan dilaksanakan secara bersama, dengan sokongan guru, ibu bapa dan komuniti.
"Hasbunallah wa nikmal wakeel. Insya-Allah, kita sama-sama berdoa dan berusaha keras agar anak-anak dan warga sekolah terus selamat dan sejahtera di sekolah. Ujian ini akan kita lalui bersama," tambahnya.
Comments