
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengelakkan dua loji rawatan air daripada berhenti beroperasi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan LUAS, insiden pertama berlaku pada 22 Oktober melibatkan pencemaran bau di Sungai Kundang sehingga 10 ton, dikesan pada jam 10.45 pagi ketika pemantauan secara 24 jam dalam Ops Statik Sungai Gong, Rawang.
Siasatan awal LUAS mendapati pencemaran bau berpunca daripada bahan biodiesel dan mencatatkan keputusan melebihi 10 ton pada aliran air dari kawasan Industri Kundang Jaya.
Siasatan itu, menurut LUAS, membawa kepada tindakan mengeluarkan Surat Arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis terbabit untuk menghentikan discaj efluen serta-merta dan melaksanakan tindakan pembersihan.

"LUAS telah melaksanakan langkah menyah bau dengan meletakkan 12 beg bersamaan 300kg activated carbon untuk mengawal pencemaran di lokasi pertemuan Sungai Kundang.
"Pensampelan dilaksanakan di 3 lokasi berbeza di sekitar aliran Sungai Kundang dan telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa pengenalpastian kandungan bahan dan tindakan berkaitan selanjutnya," kata LUAS dalam satu kenyataan.
Sementara insiden kedua pula melibatkan tumpahan minyak diesel ke dalam Tasik Putrajaya sekitar jam 9.35 pagi disebabkan kebocoran skid tank paip saluran bawah tanah Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.
Siasatan mendapati minyak diesel telah mengalir ke longkang IKN dan telah masuk ke Tasik Putrajaya. Pihak Perbadanan Putrajaya (PPJ) telah mengarahkan pihak IKN untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan segera bagi mengelakkan kejadian menjadi lebih teruk.

Menurut LUAS, beberapa langkah mitigasi dijalankan oleh pihak IKN merangkumi pembaikan paip sambungan, meletakkan oil pad dan oil boom pada sistem saliran dan menyedut minyak yang telah bercampur.
"Insiden ini berpotensi mencemarkan Sungai Langat dan juga menyebabkan henti tugas LPA Bukit Tampoi yang terletak di bahagian hilir anggaran 10km daripada spillway tasik berkenaan.
"Pihak LUAS telah memohon kerjasama pihak PPJ untuk meletakkan oil boom di kawasan spillway Tasik Putrajaya ke Sungai Langat bagi mengelakkan pencemaran berlarutan.
"Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh pihak LUAS bersama pihak-pihak terlibat," ujar kenyataan itu lagi.
Kedua-dua insiden itu membuktikan efisiensi LUAS dalam menangani pencemaran air mentah. Dalam operasi berkenaan LUAS turut dibantu Air Selangor, PPJ serta agensi-agensi kerajaan lain yang berjaya mengelakkan henti tugas loji rawatan dan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna.
LUAS menyeru agar orang ramai melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan.