
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil serius luahan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang baru-baru ini.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata pihaknya akan berusaha memberikan yang terbaik kepada keperluan Mohd Azizulhasni demi demi menjayakan hasrat negara meraih pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Tambahnya, semua pihak diharap tidak risau dan untuk itu jawatankuasa Road to Gold (RTG) akan bermesyuarat pada minggu hadapan bagi menyelesaikan isu berbangkit.
"Mesyuarat ini akan berlangsung minggu hadapan, kita akan adakan mesyuarat RTG dan semua hasrat atlet terpilih ini akan dikaji oleh Jawatanluasa RTG.
"Saya telah hubungi Azizul menerusi koordinator kita Datuk Stuart Ramalingam dan kita akan usahakan yang terbaik untuk atlet kita, untuk pastikan peluang Malaysia dapat pingat emas itu cerah," katanya selepas merasmikan Program Malaysia Aktif@Komuniti di PPR Taman Bagan Jaya, Jalan Bagan Jermal, Butterworth pada Sabtu.
Mohd Azizulhasni baru-baru ini meluahkan kekecewaannya terhadap kegagalan MSN menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai, sejak awal tahun ini.
Beliau berkata beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan MSN sejak setahun sebelum dia kembali ke Malaysia, tetapi sehingga kini tiada penyelesaian dicapai, sedangkan Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dalam tempoh setahun.
Dalam perkembangan berasingan, Hannah berkata KBS belum bersedia memberi sebarang ulasan berhubung siasatan tragedi kematian dan kehilangan peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023).
Kementerian jelasnya akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas semua perkara berkaitan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pergunungan itu selesai.
Misi ME2023 melalui episod duka apabila seorang pendaki yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, meninggal dunia ketika ekspedisi menakluk puncak berkenaan pada ketinggian 8,000 meter, 18 Mei lalu.
Sementara itu, pendaki orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, pula dilaporkan hilang sehari selepas kematian Awang Askandar.