LRT3: Perjalanan Shah Alam - KL lebih mudah, tingkat kualiti hidup
- Helmi Mohd Foad

- Jun 29
- 2 min read

Sehari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan operasi Laluan Transit Aliran Ringan (LRT3) Laluan Shah Alam, Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof mencuba sendiri perkhidmatan pengangkutan awam baharu itu bagi melihat pengalaman pengguna secara dekat.
Azli memulakan perjalanan dari Stesen Stadium Shah Alam menuju ke stesen terakhir di Bandar Utama, sambil menilai sendiri aspek keselesaan, kelancaran perjalanan serta kemudahan yang ditawarkan kepada pengguna.
Beliau berkata pengalaman menaiki LRT3 memberi gambaran bahawa sistem pengangkutan awam kini semakin berkembang, khususnya bagi penduduk Shah Alam yang sebelum ini banyak bergantung kepada kenderaan persendirian untuk bergerak.
"Alhamdulillah, saya dapat rasai sendiri perjalanan yang begitu lancar, selesa dan moden. Lebih menggembirakan apabila dapat bertemu serta berbual dengan ramai penumpang yang turut teruja mencuba kemudahan baharu ini," katanya dalam hantaran di Facebook.
LRT3 atau Laluan Shah Alam merupakan projek rel sepanjang 37.8 kilometer yang menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia, Klang, merentasi kawasan Petaling Jaya, Subang, Shah Alam dan Klang.
Laluan ini dibangunkan dengan kos sekitar RM16.63 bilion dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk di sepanjang koridor berkenaan.
Buat permulaan, laluan ini mempunyai 20 stesen operasi antaranya Bandar Utama, Kayu Ara, BU11, Damansara Idaman, Subang, Glenmarie 2, Stadium Shah Alam, UiTM Shah Alam, Seksyen 7 Shah Alam, Bandar Baru Klang, Pasar Klang, Jalan Meru, Jambatan Kota, Taman Selatan, Seri Andalas, Klang Jaya, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia.
Selain itu, beberapa stesen tambahan seperti Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik dirancang untuk fasa seterusnya.
Menurut Azli, kekuatan utama LRT3 bukan hanya pada laluan baharu itu sendiri, tetapi bagaimana ia berfungsi sebagai sebahagian daripada rangkaian pengangkutan awam bersepadu.
Bagi membuktikan perkara itu, beliau merancang melakukan perjalanan ke Parlimen menggunakan sepenuhnya pengangkutan awam bermula dari Shah Alam menaiki LRT3, kemudian menyambung perjalanan melalui laluan LRT lain sebelum menggunakan bas pengantara ke Bangunan Parlimen.
"Perjalanan ini menunjukkan bahawa pengguna dari Shah Alam kini mempunyai pilihan yang lebih mudah melalui sistem pengangkutan yang saling berhubung," katanya.
Beliau turut menyeru warga Shah Alam dan kawasan sekitar supaya mengambil peluang mencuba LRT3, lebih-lebih lagi apabila orang ramai diberi peluang menikmati perjalanan percuma selama sebulan selepas pelancaran.
Menurutnya, lebih ramai rakyat beralih kepada pengangkutan awam akan membantu mengurangkan kesesakan jalan raya selain meningkatkan mobiliti harian.
"Harapan kita supaya pengangkutan awam menjadi pilihan utama kerana ia bukan sahaja memudahkan perjalanan, tetapi juga memberi kesan kepada kualiti hidup masyarakat," katanya.
Pembukaan LRT3 Laluan Shah Alam menjadi antara perkembangan penting pengangkutan awam Lembah Klang selepas lama dinantikan, khususnya oleh penduduk Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.




Comments