LPP sasar lahirkan 5,000 usahawan baharu tahun ini
- Suara Keadilan

- Mar 14
- 1 min read

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyasarkan untuk melahirkan 5,000 usahawan berpendapatan bersih tidak kurang RM5,000 sebulan.
Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata sasaran itu yang akan dimulakan pada tahun ini bertujuan membuka mata golongan peladang dan anak peladang kepada peluang serta potensi dalam sektor pertanian.
"Sebelum ini, LPP memang telah dapat melahirkan sejumlah usahawan daripada golongan peladang yang berjaya, tetapi kali ini kita letak sasaran 5,000 usahawan. Tambahan pula, pendapatan dalam sektor pertanian hari ini sangat baik.
"Ada pelajar universiti yang apabila sudah keluar, tidak ada kerjaya yang sesuai dengan pengajiannya, dia tidak tahu hendak buat apa. Jadi, sepatutnya mereka ambil peluang ini dan terlibat dalam kerja (pertanian) ini," katanya dipetik laporan media.
Mengulas lanjut mengenai hasrat itu Mahfuz menjelaskan, terdapat beberapa bantuan dan geran yang disediakan LPP dalam usaha untuk membantu usahawan serta meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil dan memperkasa projek ekonomi dalam sektor pertanian.
"Ada bantuan geran antaranya Geran Agriprentice yang sebanyak RM20,000 diberikan kepada setiap peserta dan ia fokus kepada pengeluaran pertanian, perkhidmatan, pemasaran dan peningkatan kemahiran selain Geran Agropreneur Muda (GAM) yang disasarkan kepada usahawan muda yang terlibat dalam sektor tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani dengan nilai bantuan antara RM30,000 sehingga RM50,000.
"Tetapi syarat untuk mendapatkan bantuan geran ini, mereka perlu menjadi ahli peladang. Banyak yang disediakan untuk memastikan peladang dan anak-anak peladang ini dapat diperkasakan lagi," tambahnya.









Comments