Lonjakan prestasi di Sukan SEA fasa kebangkitan sukan negara - Hannah
- Suara Keadilan

- Dec 22, 2025
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Mantan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (gambar) menyifatkan Sukan SEA Thailand 2025 sebagai titik tolak kepada fasa ‘naik kelas’ sukan negara.
Menerusi satu kenyataan beliau berkata, lonjakan jumlah pingat dan rekod baharu yang dicatatkan kontinjen negara menjadi petunjuk jelas bahawa Malaysia sedang berada di landasan kebangkitan sukan yang semakin meyakinkan di peringkat serantau.
"Malaysia berada pada fasa kebangkitan sukan yang jelas. Daripada 175 pingat di Sukan SEA Cambodia 2023, kini 231 pingat di Sukan SEA Thailand 2025.
"Malaysia kini hadir bukan sekadar sebagai pencabar, sebaliknya pesaing serius dalam hampir semua disiplin sukan. Kempen 2025 membuktikan bahawa penyertaan yang lebih luas mampu menghasilkan kemenangan yang lebih besar, berkualiti dan bermakna," katanya.
Malaysia menutup kempen sukan dwi-tahunan terbesar di Asia Tenggara itu dengan mengumpul 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa sekaligus mengatasi rekod 216 pingat dicatatkan pada edisi 2007.
Pada temasya kali ini, kedudukan Malaysia juga melonjak tiga anak tangga daripada kedudukan ketujuh pada edisi 2023 di Kemboja yang hanya mengumpul 176 pingat.
"Pencapaian pada temasya kali ini bukan sekadar peningkatan angka, sebaliknya mencerminkan peluasan penyertaan, peningkatan kualiti serta keyakinan baharu atlet negara merentas pelbagai disiplin," tambahnya.
Menerusi kenyataan sama, Hannah yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, serta seluruh warga MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) atas komitmen dan profesionalisme dalam menyokong kejayaan kontinjen Malaysia.









Comments