
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil yakin usaha kerajaan menambahbaik akses internet di negara ini mampu mencetuskan ‘lonjakan kuantum’ yang dapat memaksimumkan hasil ekonomi digital negara.
Fahmi ketika menjadi tetamu program Bual Konti terbitan RTM yang disiarkan malam tadi berkata, usaha itu juga dapat membantu merapatkan kesenjangan sosioekonomi rakyat di bandar dan luar bandar.
"Penting untuk kita pastikan perkara asas akses kepada ekonomi digital ditambah baik, internet kena laju dan pakej internet juga perlu murah.
"Kita sedang pastikan perkara itu dan ada perkara perlu negotiate sikit lagi...sebelum itu prabayar dan selepas ini inshaAllah ada sesuatu untuk fixed line broadband pula," katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memulakan beberapa langkah meningkatkan capaian akses internet kepada rakyat.
Pada Disember lalu, Fahmi mengumumkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga dua kali ganda lebih murah iaitu RM5 sebulan dan tiga kali lebih pantas, yang akan berada di pasaran Februari ini.
Pengenalan pakej itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup serta memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh kepada rakyat Malaysia.
Fahmi juga sebelum ini mengulas isu gangguan capaian internet yang berlaku di kampus universiti sehingga mengganggu proses pembelajaran pelajar.
Untuk itu beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan laporan lengkap berkaitan isu itu untuk diteliti.
Dalam program malam tadi, Fahmi juga menyatakan kenyakinan bahawa pengembangan ekonomi digital mampu mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi di rantau ini.
コメント