Loh Ker Chean mahu jadi perantara agar wanita faham dasar kerajaan
- Suara Keadilan
- May 13
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Calon Naib Ketua Wanita Pusat KEADILAN, Loh Ker Chean menyatakan komitmen untuk terus memperkasakan golongan wanita sebagai pemimpin masa depan jika diberi mandat untuk jawatan tersebut.
Dalam tawaran itu beliau menyifatkan, Wanita KEADILAN bukan sekadar dilatih menjadi wakil rakyat berwibawa dan berwawasan, tetapi sebagai 'talent pool' yang bersedia mentadbir negara dan telah dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran asas tadbir urus yang jitu.
Tawaran lain katanya, adalah beliau tekad untuk membina parti dengan memberdayakan wanita dalam politik dan Hal Ehwal Pentadbiran dan Dasar “'Lawan tetap Lawan, Lawan sampai Menang” dan seterusnya adalah “Menang Demi Reformasi'”.
"Kita sebagai Sayap Wanita tidak ketinggalan untuk bersama dengan calon Timbalan Presiden, Saudari Nurul Izzah dalam agenda membina parti kita.
"Kita perlukan jentera bukan hanya untuk menang, tetapi juga untuk kekal memerintah. Tatkala itu, pemerkasaan ini mesti bersifat strategik, terancang, dan terangkum," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyatakan iltizam untuk membina parti dengan memperkukuh hubungan parti dan kerajaan.
Katanya, KEADILAN merupakan parti pemerintah dan perkara itu seharusnya menjadi jambatan antara parti dan kerajaan.
"Ini adalah teras dan asas kepada pemantapan gerak kerja kerajaan dan anggota parti dalam memastikan KEADILAN kekal utuh dan memerintah.
"Sebagai Naib Ketua Wanita Pusat, saya akan menjadi perantara aktif agar anggota wanita faham dasar-dasar semasa kerajaan, serta pelaksanaan agenda Reformasi yang didukung oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kefahaman ini akan memastikan wanita KEADILAN tidak terasing daripada naratif pembangunan negara, sebaliknya menjadi pelaksana yang faham, yakin dan berani.
"Saya juga mahu membina wanita berempati, berwawasan yang berpaksikan agenda Menua Dengan Bermaruah.
"Reformasi tidak lengkap tanpa keberpihakan kepada yang lemah. Maka, saya akan memperluas kempen Menua Dengan Bermaruah, satu ikhtiar untuk memperjuangkan hak dan kebajikan warga emas terutamanya Otai Reformis yang telah banyak berkorban demi perjuangan ini," ujarnya lagi.
Tambahnya, beliau mahu wanita KEADILAN tampil sebagai suara empati, perancang dan pelaksana dalam menangani isu menua dalam negara.
"Lebih daripada itu, mereka wajar muncul sebagai pelaksana yang gigih, memastikan keadilan sosial dan maruah insan tetap terpelihara dalam wajah Malaysia yang semakin menua.
"Saya yakin wanita KEADILAN mesti tampil bukan sebagai sayap pelengkap, tetapi sebagai kekuatan strategik parti. Kita mahu membina organisasi yang tersusun, kader yang berdaya saing, dan semangat juang yang terus menyala
"Saya hulurkan tawaran ini dengan rendah hati, namun disulami dengan keazaman yang utuh. Bersama kita bukan hanya membina parti, tetapi bersama kita membina harapan rakyat," katanya.
コメント