Logo KEADILAN PRU 15: Kita runding untuk dapatkan penyelesaian - Anwar
- Redzuan Shamsudin
- Sep 16, 2021
- 1 min read

Isu logo yang bakal digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 akan dirundingi sesama anggota komponen untuk mendapatkan penyelesaian.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tuntutan dari akar umbi KEADILAN untuk meneruskan penggunaan logo tersebut yang terbukti berjaya menawaskan BN dalam PRU 14 lalu ada meritnya, namun pendapat rakan komponen lain di dalam PH juga perlu diambil kira.
"Saya hormat pandangan akar umbi untuk menggesa pimpinan menggunakan logo KEADILAN. Saya juga faham dalam konteks PH ada gesaan dari teman-teman mahu menggunakan logo PH.
"Jadi biarlah kita runding cara baik, untuk mendapat penyelesaian baik, kerana ada hujah-hujah kuat yang dikemukakan oleh kedua belah pihak," katanya dalam sidang media menerima keanggotaan aktivis mahasiswa sebagai ahli KEADILAN, pagi tadi.
Polemik logo KEADILAN sebagai logo mewakili PH dalam PRU 15 telah ditimbulkan oleh akar umbi parti secara serius sejak minggu lalu berikutan kenyataan-kenyataan media yang melibatkan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN dan NGO-NGO pro reformasi.
Antara alasan mereka perlunya logo KEADILAN dikekalkan adalah kerana logo itu sinonim dengan perjuangan menegakkan hak-hak rakyat, anti korupsi dan tidak terpalit dengan prestasi kerajaan PH selama 22 bulan yang agak dipertikaikan rakyat. Selain itu, logo KEADILAN juga telah dikenali di kawasan pedalaman terutama di Malaysia Timur, berbanding lambang PH.
Comments