Ketua-ketua Cabang KEADILAN Sabah mahu logo KEADILAN digunakan sekali lagi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Menurut satu kenyataan, Ketua-ketua Cabang berkata logo berkenaan masih relevan dan mempunyai daya tarik tersendiri kepada pengundi. Manakala kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tempoh hari difahami rakyat berpunca daripada masalah yang ditimbulkan Tun Mahathir Mohamad dan bukannya KEADILAN atau PH.
"Kemenangan di PRU15 kali ini sewajarnya menjadi pertimbangan besar parti dalam menyusun rangka strategi pilihan raya PH. Harus diakui kemenangan lalu kerajaan PH atas logo KEADILAN tetapi telah runtuh oleh agenda jahat para pengkhianat termasuklah Tun Mahathir dan Ahli Parlimen yang berpaling tadah. Maka zahirnya imej PH dan logonya itu dilihat sebagai telah gagal.
"Namun kita yakin ini tidak menjejaskann momentum sokongan rakyat kepada KEADILAN itu sendiri. Malah diketahui KEADILAN yang memiliki kerusi Parlimen terbanyak ketika itu menjadi kecil dalam saiz kerajaan Tun Mahathir. Perkara ini menambah simpati rakyat terhadap KEADILAN. Oleh sebab itu, penggunaan "logo Keadilan" menjelang PRU 15 nanti amatlah sesuai dan tepat untuk meraih sokongan mengulangi kemenangan PRU 14 lalu," kata Ketua-ketua Cabang Sabah.
Tambah kenyataan berkenaan, logo KEADILAN juga melambangkan aspirasi masyarakat majmuk yang mahukan Malaysia lebih progresif serta bebas dari korupsi
Juga mengambil kira tempoh yang terlalu hampir untuk PRU 15, serta kesukaran mengenalkan masyarakat luar bandar kepada logo PH yang perlu diperhitungkan.
"Cadangan penggunaan logo KEADILAN ini dilihat sinonim dengan aspirasi masyarakat majmuk Malaysia. KEADILAN adalah sandaran masa hadapan rakyat pelbagai kaum kerana prinsip keadilan, integriti dan semangat reformasi tulen. Hal yang demikian juga menyamai prinsip-prinsip diperjuangkan sama oleh rakan-rakan parti DAP, Amanah dan terbaru ini UPKO yang bergabung dalam PH.
"Sayugia ditegaskan, syor dan sokongan ini telah disetujui dan ditandatangani oleh 22 Ketua-ketua Cabang Negeri Sabah termasuk Labuan.
"Ketetapan ini telah dicapai sebulat suara dan menolak sebarang kemungkinan keputusan yang menafikan hak majoriti Ketua-ketua Cabang oleh mana-mana pihak termasuk MPN dan Majlis Pakatan Harapan Sabah. Kami yakin dan percaya semangat reformasi yang diperjuangkan mampu mengangkat martabat darjat rakyat dan seluruh warga Sabahan," kata mereka lagi.
Comments