top of page

Anwar tegaskan tidak campur tangan isu Yang Dipertuan Besar, Undang

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau tidak campur tangan dalam pertikaian membabitkan institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat, sebaliknya menyerahkan perkara itu diselesaikan mengikut lunas perlembagaan dan undang-undang.


Perdana Menteri berkata beliau menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak pernah mempertikaikan kuasa yang diperuntukkan kepada negeri.


"Kita diheret bincang soal sistem Raja. Saya tahu dulu di Negeri Sembilan ada juga yang tak setuju dengan keputusan saya.


"(Tetapi) Saya tak campur dalam keputusan negeri. Tapi kita harus tadbir negara. Ini bukan darurat yang kerajaan Persekutuan boleh ambil alih kalau ada pertelingkahan antara Yang Dipertuan Besar dan Undang. Adakah saya tidak hubungi Undang? Saya hubungi...," katanya ketika berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di Seremban malam tadi.


Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa serta pemimpin-pemimpin PH peringkat nasional dan negeri.


Anwar yang juga Pengerusi PH turut menegaskan bahawa beliau bukannya mahu mempertikaikan Adat Pepatih, undang-undang dan luak kerana ia merupakan perkara yang terkandung di dalam Perlembagaan negeri itu.


Bagaimanapun jelas beliau, sebarang perubahan yang melibatkan sistem sedia ada perlu dilakukan mengikut saluran perundangan yang ditetapkan.


"Saya tidak pertikai undang-undang, luak. Saya tidak pertikai itu perlembagaan negeri.


"Tetapi sementara ini semua belum teratur dan beres, kita ada yang lebih besar untuk difikirkan."


Anwar berkata, beliau tidak bersetuju sekiranya institusi diraja dijadikan bahan percaturan politik oleh mana-mana pihak.


"Kita kata kita sokong sistem Raja, tetapi kita juga bergerak untuk menggulingkan raja. Saya tak setuju.


"Saya kata apa-apa perubahan ikut peraturan dan perlembagaan," tegasnya.


Beliau berkata negara akan berdepan keadaan yang berbahaya sekiranya institusi diraja turut dijadikan medan perebutan politik.


"Bayangkan apa nak jadi kepada negara ini kalau daripada rakyat politik, raja pun jadi bahan (politik)."


Sehubungan itu, beliau menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai niat untuk mengganggu sistem yang sedang berjalan di Negeri Sembilan.


"Saya tegaskan semula, saya tidak ada ruang untuk keputusan kita mengganggu atau mengubah sistem."


Menurut Anwar, sebarang keputusan berkaitan perkara berkenaan perlu ditentukan menerusi proses undang-undang yang sah.


"Bagi Kerajaan Persekutuan, saya kata apa-apa perubahan di bawah undang-undang yang ada mesti teratur.


"Bukan saya putuskan. Peguam Negara ada. Sistem perundangan kita ada," ujarnya.


Beliau turut menegaskan kesetiaan Kerajaan Persekutuan kepada institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.


"Maka kita akur dan patuh dan taat kepada Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebagai Raja."


Dalam masa sama, Anwar berkata perhatian kerajaan ketika ini lebih tertumpu kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat berbanding pertikaian politik.


"Kita ada agenda baik untuk pekerja-pekerja. Puluh ribu pekerja di Seremban, petani, nelayan, pesawah dan orang miskin.


"Itu yang sepatutnya menjadi keutamaan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page