PRN Melaka: PH guna logo HARAPAN



Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menyaksikan logo Harapan digunakan untuk mewakili 3 parti komponen KEADILAN, Amanah dan DAP yang bertanding.


Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, penggunaan logo berkenaan telah dipersetujui sebulat suara oleh keempat-empat komponen PH.


"Majlis Presiden dan pimpinan telah bincang tentang logo parti dan menerima pelbagai pandangan. Kita hormat pandangan semua pimpinan PH tetapi keputusan kita untuk Melaka ini, sebagai ujian permulaan kita sebulat suara bersetuju untuk menggunakan logo PH.


"Seluruh kekuatan PH menonjolkan logo PH. Kita berjuang satu logo, satu manifesto bagi peringkat negeri," katanya dalam sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, sebentar tadi.


Manakala pembahagian kerusi juga telah dibincangkan dengan teliti.


Menurut Anwar, oleh kerana hanya 3 komponen PH yang terlibat dalam PRN Melaka maka hanya DAP yang mengekalkan jumlah kerusi manakala dua lagi parti akan mendapat pertambahan.


"Pembahagian kerusi seperti yang diketahui secara umumnya satu proses yang panjang, dari DUN ke Negeri dan dikemukakan kepada jawatankuasa khas. Jawatankuasa berunding dan di bawa ke Majlis Presiden.


"(Oleh itu) kita memutuskan untuk menyelesaikan, dan setakat ini keputusan kita iaitu DAP kekal 8, Amanah 9 dan KEADILAN 11," katanya.


Bagaimanapun, pimpinan PH tetap mempertikaikan pelaksanaan pilihan raya yang dipaksakan tersebut.


Anwar sekali lagi menyuarakan kebimbangan akan meningkatnya jangkitan Covid 19 sepanjang proses berkempen dan hari pengundian pada 20 November kelak.


"Kita telah suarakan kegelisahan dan bantahan kita mengenai proses pilihan raya ini.


"Kebimbangan kita tentang bahaya keselamatan rakyat. Walaupun kita kecewa dengan peraturan ini, kita arahkan jentera kita untuk mematuhi SOP yang ketat kerana risiko kepada rakyat dan kemungkinan melonjaknya angka positif Covid 19," katanya lagi.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA