Lobi burukkan Malaysia demi dendam politik tidak boleh diterima
- Hasbul Ahmad

- 3 hours ago
- 2 min read

Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang bentuk pengkhianatan termasuk usaha melobi dan memburuk-burukkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa hanya kerana sesetengah pihak mahu melampiaskan dendam peribadi atau kepentingan politik sempit.
Setiausaha Kerja KEADILAN Johor, Muhd Ezaddin Abdul Rahman (gambar) berkata tindakan sedemikian bukan sahaja merosakkan reputasi negara di mata dunia, malah boleh menggugat kestabilan sosial serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
"Kebelakangan ini timbul kebimbangan bahawa terdapat usaha terancang untuk memanipulasi beberapa isu sensitif yang sedang hangat diperkatakan, termasuk yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki serta keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
"Isu-isu tersebut kemudiannya digunakan untuk membentuk naratif negatif mengenai Malaysia di peringkat antarabangsa melalui laporan tertentu serta kempen persepsi di media sosial.
"Negara tidak boleh menerima pengkhianatan seperti ini. Tidak wajar ada pihak yang sanggup melobi dan memburuk-burukkan Malaysia di luar negara hanya kerana mahu melampiaskan dendam peribadi atau kepentingan politik sempit," kata Muhd Ezaddin.
Muhd Ezaddin menegaskan bahawa tindakan membawa isu domestik ke pentas antarabangsa dengan tujuan merosakkan imej negara merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh memberi kesan besar kepada kestabilan negara.
Menurut beliau, dalam konteks geopolitik global yang semakin tegang, tidak mustahil wujud pihak luar yang cuba mengambil kesempatan menggunakan perang persepsi bagi mempengaruhi pandangan rakyat Malaysia terhadap negara sendiri.
Tambahnya, propaganda seperti ini sering disalurkan melalui media antarabangsa tertentu dan kemudiannya diperkuatkan semula melalui media sosial bagi membentuk gambaran bahawa Malaysia adalah negara yang tidak stabil dan dipenuhi rasuah.
"Kritikan terhadap kerajaan dan institusi adalah sebahagian daripada amalan demokrasi, namun ia perlu berlandaskan fakta dan bukan didorong oleh propaganda luar yang bertujuan mencetuskan perpecahan.
"Akhirnya, kestabilan Malaysia bergantung kepada kebijaksanaan rakyatnya dalam menilai maklumat dan menolak sebarang cubaan pihak luar yang cuba memperalatkan isu tempatan demi agenda geopolitik mereka sendiri.
"Rakyat Malaysia perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah dipengaruhi dengan naratif yang cuba menggambarkan negara kita sebagai gagal atau tidak stabil," katanya.
Beliau berkata rakyat perlu matang dan bijak menilai setiap maklumat yang diterima agar tidak menjadi alat kepada propaganda luar yang bertujuan mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
"Perpaduan nasional dan kesedaran terhadap ancaman perang persepsi adalah benteng utama dalam memastikan negara terus kekal stabil dan berdaulat," ujarnya lanjut.




Comments