LKIM perkukuh sektor hiliran, seru nelayan kuasai rantaian pasaran
- Suara Keadilan

- Sep 1
- 1 min read

Kerajaan MADANI melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan memperkukuh sektor hiliran dalam usahanya menangani isu kekurangan bekalan ikan
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata, usaha itu termasuk membuka kilang pemprosesan isi ikan merupakan usaha penting bagi memastikan keperluan produk berasaskan ikan seperti keropok dapat dipenuhi selaras dengan peningkatan permintaan.
"Perniagaan ini tidak memerlukan modal besar, hanya kesungguhan, dengan nelayan bukan sahaja boleh menjana pendapatan melalui jualan ikan segar, malah dengan menghasilkan produk hiliran seperti keropok, sotong gula dan makanan laut lain," katanya dipetik.
LKIM juga, kata beliau, melaksanakan agenda ‘Satu Persatuan Nelayan, Satu Perniagaan’ bagi mengukuhkan peranan persatuan dalam menjana pendapatan sekali gus memastikan bekalan produk ikan sentiasa terjamin.
Sementara itu sebagai mengulas laporan media mengenai kekurangan bekalan ikan tamban sejak dua tahun lepas yang menghimpit pengusaha keropok keping tradisional akibat ketiadaan bahan mentah, Faiz menegaskan, bekalan ikan mentah sebenarnya mencukupi namun isu timbul apabila kapasiti pengeluaran isi ikan masih terhad kerana kilang pemprosesan tidak banyak.
Sebagai usaha awal, LKIM telah menubuhkan kilang pemprosesan isi ikan di Besut bagi menambah kapasiti pengeluaran.
Pada acara tersebut beliau turut menyeru golongan nelayan menguasai setiap nilaian rantaian perniagaan perikanan termasuk pemasaran, hiliran dan akuakultur bagi memberi erti sebenar kemerdekaan
Sektor tersebut jelasnya perlu dipandang serius kerana ia keperluan asas dan jika tidak dibangunkan oleh rakyat tempatan, ruang itu akan diisi pihak luar sekali gus membuka peluang kepada bentuk penjajahan ekonomi baharu.









Comments