top of page

LKIM harap peruntukan lebih besar menerusi Belanjawan 2027

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
5 minutes ago
1 min read
 Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Muhammad Faiz Fadzil
 Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Muhammad Faiz Fadzil

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sudah mengemukakan permohonan peruntukan Belanjawan 2027 bagi memperkasa sektor perikanan serta meningkatkan keupayaan nelayan.


Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil meletakkan harapan agar peruntukan kali ini mengatasi jumlah RM140 juta yang diterima pada tahun sebelumnya.


Jelasnya, peruntukan lebih besar akan membolehkan pembangunan prasarana, projek unjam atau tukun tiruan, serta penambahbaikan kebajikan dan insentif kepada nelayan terus diberi perhatian dan diperluas.


"Kita banyak melaksanakan pembangunan bagi meningkatkan keupayaan nelayan, terutamanya dalam memperkasa sektor akuakultur serta menyediakan kemudahan ekonomi dan prasarana seperti jeti, unjam dan perumahan untuk kebajikan mereka.


"Sudah semestinya, insentif-insentif sedia ada seperti elaun sara hidup, insentif tangkapan ikan dan juga subsidi minyak turut diberikan," katanya dipetik laporan media.


Terdahulu, Muhammad Faiz hadir ke program Sesi Libat Urus (SLU) Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Telok Mas, Melaka di Pengkalan Nelayan Tanjung Nibong, Malaka.


Pada majlis itu, kira-kira 60 orang nelayan kategori B40 turut menerima kit makanan bagi meringankan beban mereka.


Sesi tersebut juga memberi peluang kepada komuniti nelayan mengetengahkan permasalahan semasa serta mengemukakan cadangan penambahbaikan.


Sementara itu menurut Muhammad Faiz, LKIM sebelum ini membina sebuah jeti bernilai RM800,000 di Telok Mas pada tahun lepas, manakala bangsal nelayan bernilai RM400,000 akan dibina tahun ini.


Dalam masa terdekat pihaknya akan membuat penilaian kebolehlaksanaan projek pemecah ombak di Telok Mas bagi meningkatkan prasarana nelayan di kawasan berkenaan.


"Bagi meningkatkan hasil tangkapan ikan di Melaka, LKIM akan meningkatkan kapasiti sektor akuakultur, selain melaksanakan projek penurunan unjam bagi menambah lokasi pembiakan ikan di perairan negeri ini," menurutnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page