Laporan media seorang penggiat sukan diliwat oleh dua lelaki sewaktu sedang berjongging berhampiran rumahnya menggemparkan masyarakat baru-baru ini.
Menurut Setiausaha Biro Sukan dan Kesihatan KEADILAN, A. Yaashan Raj jenayah keji tersebut tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi ke atas seorang lelaki di kawasan berhampiran rumahnya di PJU 6A, Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor.
"Biro Sukan dan Kesihatan KEADILAN Malaysia merakamkan ucapan penghargaan kepada ACP Niz Ezanee Mohd Faisal serta pasukan polis IPD Petaling Jaya atas tindakan dan tangkapan pantas ke atas dua lelaki warga tempatan berumur 31 dan 36 tahun masing-masing kerana didakwa meliwat seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun ketika sedang berjogging
"Tambah membimbangkan apabila perkara buruk ini terjadi kepada seorang lelaki dan ini menimbulkan pelbagai reaksi. Persoalan dari penggiat sukan apakah nasib mereka, lelaki mahupun wanita akan terjamin sekiranya keluar berjogging secara berseorangan atau bersukan berhampiran rumah mahu pun di taman rekreasi?" katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, perbuatan jenayah seksual seperti itu tidak boleh diterima oleh masyarakat Malaysia yang bersopan santun. Malah katanya, kebelakangan ini kerap pula dilaporkan gejala gangguan seksual yang melibatkan banyak bentuk dan tidak terhad ke atas fizikal sahaja, sama ada lisan mahu pun bukan lisan.
Pihak polis, kata Yaash perlu memandang serius semua perkara terbabit dan hukuman yang setimpal wajar dikenakan ke atas pelaku agar hal sama tidak berulang.
"Di samping itu, kes-kes jenayah seperti ini akan berkurangan sekiranya hukuman setimpal dijatuhkan. Ia akan memberikan sinar cahaya baru kepada warga sukan untuk kekal melakukan aktiviti sukan dalam keadaan yang terlindung, selamat dan selesa tidak kira tempat bersukan terletak berhampiran atau jauh dari rumah mereka," katanya lagi.
Sehubungan itu, AMK ingin menasihati penggiat sukan supaya jangan mengabaikan untuk membuat laporan polis sekiranya rasa terancam semasa menjalankan aktiviti sukan dan rekreasi.
Comments