Limau mandarin, kurma juga perlu dikecualikan SST - Chean Chung
- Suara Keadilan
- 14 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kementerian Kewangan diharap dapat mempertimbangkan dengan lebih mendalam bagi mengecualikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas lebih banyak buah import terutamanya buah limau mandarin dan kurma.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, kedua-dua buah ini merupakan makanan yang sinonim dan tidak dapat dipisahkan dengan sambutan perayaan utama rakyat Malaysia iaitu Tahun Baru Cina dan Ramadan atau Hari Raya Aidilfitri.
"Pengenaan cukai 5% ke atas buah-buahan ini bukan sahaja menambah beban kepada pengguna, malah bercanggah dengan prinsip asal pelaksanaan SST yang dikatakan hanya memberi kesan kepada golongan tertentu sahaja.
"Jika pengecualian tidak diberikan, keadaan ini turut memberi tekanan kepada peniaga kecil dan pengimport yang bergantung kepada permintaan bermusim bagi menampung kos operasi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengeluarkan saranan itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenai keputusan Kabinet untuk mengecualikan buah epal dan oren daripada peluasan SST.
Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.
Chean Chung berkata, pengecualian khas SST ke atas limau mandarin dan buah kurma merupakan sebahagian daripada pendekatan fiskal bersasar yang sensitif terhadap keperluan budaya dan agama rakyat Malaysia.
"Saya yakin cadangan ini tidak akan memberi kesan ketara kepada hasil negara kerana ia bersifat bermusim dan terhad, tetapi memberi impak sosial dan ekonomi yang besar kepada kesejahteraan rakyat.
"Sebagai rakan kepada Kementerian Kewangan, saya juga bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan cadangan ini, demi mengurangkan beban rakyat," ujarnya.
Comentarios