top of page

Lima kluster dalam reformasi sektor kesihatan - KKM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 40 minutes ago
  • 2 min read
ree

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang merombak sistem kesihatan negara melalui inisiatif Reformasi Kesihatan MADANI, bertujuan memperkukuh perkhidmatan, membina persekitaran kerja yang adil dan berfokus kepada pencegahan.


Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, reformasi itu adalah pembetulan asas untuk memastikan sistem kesihatan bukan sahaja mampu menangani cabaran hari ini, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran kesihatan pada masa depan.


Beliau berkata, langkah itu diambil susulan pelbagai cabaran struktur dalam sistem kesihatan termasuk pembiayaan kesihatan, kesesakan fasiliti, beban penyakit tidak berjangkit (NCDs) serta keletihan tenaga kerja yang berlarutan sejak sekian lama.


"Kita sedang mengubah fokus daripada sick-care kepada health-care yang berteraskan pencegahan," katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau sambil menyatakan terdapat lima kluster dalam reformasi berkenaan.


Dr Dzulkefly berkata, kluster pertama melibatkan reformasi institusi dan tadbir urus dengan tumpuan memperkemas ekosistem KKM agar lebih fokus, jelas fungsi dan bertanggungjawab.


Jelas beliau, penubuhan entiti strategik seperti Bahagian Kesihatan Digital dan Pusat Keselamatan Makanan Negara (NCFS) adalah langkah ke hadapan untuk memperkukuh kapasiti institusi, memperjelas akauntabiliti dan mempercepat pelaksanaan dasar.


‘’Bagi kluster kedua iaitu reformasi penyampaian perkhidmatan kesihatan, beliau berkata KKM sedang mengubah cara perkhidmatan disampaikan dengan mengoptimumkan kapasiti sedia ada dan memodenkan fasiliti.


"Walaupun integrasi sistem data pelbagai merupakan cabaran teknikal besar, kita kekal komited melaksanakan pendigitalan rekod perubatan (EMR) dan sistem janji temu digital sebagai teras pemodenan perkhidmatan.


‘’Kluster ketiga pula melibatkan reformasi sumber manusia kesihatan, dengan KKM melaksanakan pembetulan struktur termasuk pindaan Akta Perubatan 1971 serta pelaksanaan lantikan tetap terbesar dalam sejarah terkini sektor kesihatan.


"Ini bukan penyelesaian mudah, tetapi langkah perlu untuk menoktahkan kemelut berpanjangan. Ia adalah pelaporan masa nyata usaha kita membina asas perjawatan lebih adil, stabil dan bermaruah demi melindungi aset terpenting sistem kesihatan negara iaitu para petugasnya," katanya.


Seterusnya beliau berkata, kluster keempat iaitu reformasi pembiayaan kesihatan, bertujuan untuk menjamin kelangsungan fiskal sistem kesihatan awam sambil memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti dan adil untuk semua.


‘’Melalui kerangka RESET, negara mula beralih daripada sekadar membayar kos rawatan kepada pembiayaan berasaskan nilai kesihatan (value-based), memastikan setiap ringgit dibelanjakan memberi pulangan kesihatan maksimum kepada rakyat.


‘’Kluster kelima melibatkan reformasi kesihatan awam, keselamatan dan pencegahan. KKM mengambil pendekatan lebih tegas terhadap faktor risiko utama seperti pengambilan gula berlebihan, rokok dan gaya hidup sedentari.


"Langkah ini disokong penguatkuasaan undang-undang baharu, termasuk Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), serta agenda pencegahan nasional yang lebih menyeluruh," ujarnya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page