Lima keutamaan belia: DUN Pasir Raja jadi hab anak muda - Fakharuddin
- Sidiqin Omar

- 2 hours ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Pasir Raja, Fakharuddin Moslim menggariskan lima keutamaan pembangunan berteraskan belia sebagai agenda utama sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, selaras dengan hakikat bahawa kira-kira 54 peratus pengundi di kawasan itu terdiri daripada golongan muda.
Menurut beliau, masa depan Pasir Raja bergantung kepada sejauh mana peluang dapat diwujudkan untuk membolehkan anak muda membina kerjaya, menjana pendapatan dan terus menetap di kawasan sendiri.
Katanya, belia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk peluang pekerjaan yang terhad, penghijrahan ke bandar, kos sara hidup yang meningkat serta kekurangan ruang untuk mengembangkan potensi.
"Bagi saya, pembangunan tidak boleh hanya tertumpu kepada projek fizikal. Pembangunan sebenar ialah apabila anak muda mempunyai peluang untuk berjaya tanpa perlu meninggalkan Pasir Raja," katanya kepada Suara Keadilan.
Mengulas lanjut, Fakharuddin berkata keutamaan pertama ialah mewujudkan Hab Belia Pasir Raja sebagai pusat pembangunan kemahiran, keusahawanan, inovasi dan aktiviti komuniti bagi melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing.
Keutamaan kedua ialah memperkasa ekonomi belia melalui latihan TVET, kemahiran digital, pemasaran dalam talian serta bantuan kepada usahawan muda khususnya dalam sektor pertanian moden, pelancongan dan perusahaan kecil.
Menurut beliau, keutamaan ketiga pula ialah membangunkan Pasir Raja sebagai destinasi eko-pelancongan dan agro-pelancongan yang mampu mencipta peluang pekerjaan baharu kepada golongan muda sebagai pengusaha homestay, pemandu pelancong, operator aktiviti rekreasi dan usahawan tempatan.
Selain itu, beliau mahu capaian internet serta kemudahan digital dipertingkatkan bagi membolehkan anak muda memanfaatkan ekonomi digital, bekerja secara dalam talian dan mengikuti latihan atau pendidikan tanpa perlu berhijrah.
Fakharuddin turut menjadikan penyediaan kemudahan sukan dan rekreasi sebagai keutamaan kelima menerusi usaha menaik taraf padang, gelanggang serta mewujudkan pusat aktiviti belia bagi melahirkan generasi yang sihat, aktif dan produktif.
Beliau berkata, suara belia juga perlu diberikan tempat dalam proses pembangunan menerusi penubuhan Majlis Perundingan Belia Pasir Raja agar mereka bukan sekadar penerima dasar, sebaliknya menjadi rakan strategik dalam menentukan hala tuju kawasan.
"Apabila lebih separuh pengundi adalah belia, maka pembangunan juga mesti berpaksikan keperluan mereka.
"Masa depan Pasir Raja bergantung kepada sejauh mana kita mampu menyediakan peluang dan harapan kepada generasi muda," katanya lagi.




Comments