LHDN kutip hasil lebih tinggi tingkat dana program bantuan rakyat


Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dapat mengutip lebih banyak hasil pada tahun ini berbanding sasaran ditetapkan sebanyak RM197 bilion.
Perdana Menteri berkata LHDN telah berjaya mencipta sejarah baharu kutipan cukai negara pada tahun lepas iaitu sebanyak RM183.34 bilion, melebihi RM7.8 bilion atau 4.49 peratus daripada jumlah kutipan pada tahun sebelumnya.
"Peningkatan hasil dari usaha LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah membantu menambah baik program Sumbangan Asas Tunai Rahmah (SARA) yang telah digandakan bayarannya sementelahan jumlah penerima melonjak kepada 700,000 ketimbang 210,000 tahun lepas," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil ke-28 di Cyberjaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun berkata, Malaysia masih mempunyai asas cukai yang rendah iaitu sekitar 11.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding negara jiran lain seperti Singapura (12.6 peratus) dan Thailand (16.4 peratus).
Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat dan individu agar menjalankan tanggungjawab mereka untuk membayar cukai.
“Bilangan syarikat yang membayar cukai masih rendah iaitu sekitar 435,000 syarikat berbanding 1.5 juta syarikat berdaftar di Malaysia. Ini bermakna kurang daripada 29 peratus syarikat berdaftar yang membayar cukai,” katanya.
Beliau berkata sehingga 31 Dis 2023, jumlah pembayar cukai individu adalah sebanyak 5.7 juta dengan hasil kutipan RM40.96 bilion dan bagi syarikat pula adalah sebanyak 539,113 dengan hasil kutipan RM98.77 bilion.
Perdana Menteri berkata melalui Program Khas Pengakuan Sukarela 2.0 yang sedang dijalankan, LHDN telah menerima 68,806 kes pengisytiharan sukarela setakat 15 Februari lalu berjumlah RM610.62 juta daripada pembayar cukai baharu dan sedia ada.
Dalam pada itu, beliau mahu usaha untuk mengurangkan defisit fiskal negara diteruskan agar ia tidak membebankan generasi akan datang dan dapat terus mengembalikan keyakinan pelabur dalam dan luar negara untuk melabur di negara ini.
“Pelaburan (negara) masuk dengan rekod tertinggi dalam sejarah kerana keyakinan pelabur domestik dan luar.
“Inflasi kita juga berada di tahap rendah dan kadar pengangguran juga kian rendah,” kata beliau.
Sehingga akhir Disember 2023, jumlah keseluruhan hutang kerajaan adalah sebanyak RM1.17 trilion atau 64.3 peratus daripada KDNK.




Comments