top of page

'LGBTQ konon kerajaan beri ruang, negeri ditadbir Pas juga tinggi'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 20
  • 2 min read

ree

Retorik pemimpin Pemuda Pas mendakwa gejala berkaitan lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok mempersoal identiti seksual diri (LGBTQ) diberi ruang pengamalannya oleh Kerajaan Madani dipersoalkan kerana gejala itu turut tinggi di empat negeri yang ditadbir Pas.


Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Danish Hairudin (gambar) pemimpin Pemuda Pas seharusnya meneliti laporan dan kajian beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta data tidak rasmi yang menunjukkan Kelantan dan Terengganu sering merekodkan kes pembuangan bayi, gejala sosial dan penderaan seksual yang tidak kurang tingginya.


"Jika Pemuda Pas benar-benar serius, mengapa masalah sosial di negeri yang mereka tadbir tidak pernah surut?


"Mengapa masalah penagihan dadah di Kelantan yang diakui sendiri oleh Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Datuk Taib Azamudden masih berada di tangga teratas negara?" katanya dalam satu kenyataan.


Sebelum ini Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan secara terbuka bahawa amalan LGBTQ diharamkan dari sudut pandangan Islam.


Beliau mendakwa Kerajaan Madani memberi ruang sepenuhnya kepada golongan LGBTQ atas nama kebebasan hak asasi manusia.


Tegas Danish, LGBTQ sememangnya diharamkan dalam Islam dan tidak pernah diiktiraf oleh undang-undang negara.


"Malaysia sebuah negara yang berteraskan Perlembagaan dengan Islam sebagai agama Persekutuan. Mana mungkin kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim memberi ‘lampu hijau’ kepada amalan songsang itu?


"Sejak bila negara kita membenarkan LGBTQ? Golongan ini tidak pernah diiktiraf dalam mana-mana dasar kerajaan. Undang-undang sedia ada, termasuk Seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan, jelas memperuntukkan hukuman bagi perbuatan liwat dan hubungan sejenis," tegasnya.


Bagi PM Anwar, kata Danish, beliau telah beberapa kali menegaskan bahawa Malaysia tidak tunduk kepada agenda liberal antarabangsa yang bertentangan dengan syariat dan budaya negara negara Timur.


"Hak asasi manusia tidak bermaksud mengiktiraf perbuatan yang jelas bercanggah dengan hukum agama dan nilai kemanusiaan.


"AMK mengingatkan Pas supaya jangan menangguk di air yang keruh dengan retorik murahan untuk meraih populariti politik.


"Fokuslah kepada penyelesaian isu sebenar rakyat termasuk kemiskinan, pendidikan dan penagihan dadah di negeri-negeri yang mereka tadbir, daripada terus bermain isu sensasi yang sudah jelas pendiriannya," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page