Letak jawatan Menteri tiada kaitan tarik sokongan kepada kerajaan - Nabil
- Suara Keadilan
- May 29
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pembangkang dan laskar sibernya 'dinasihatkan' memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh peranan sebagai entiti semak dan imbang yang berkesan, berbanding 'sibuk' mencampuri urusan parti lain atau menyentuh isu kestabilan negara termasuk di platform media sosial.
Bagi Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi, isu peletakan jawatan menteri oleh mantan Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Rafizi Ramli dan mantan Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad, menggambarkan mereka berpegang pada prinsip dan tiada kena mengena dengan kerajaan 'bergoyang' atau stabil.
"Amalan meletakkan jawatan selepas kekalahan di peringkat parti adalah perkara biasa, malah ia turut dipratikkan negara lain di dunia. (Peletakan jawatan) mereka menunjukkan satu kematangan demokrasi di Malaysia.
"Sebagai 'gentlemen', apabila kalah, kita ke belakang. Selepas pemilihan KEADILAN baru-baru ini, saya lihat pembangkang seolah-olah cuba mengambil kesempatan melancarkan perang siber kepada masyarakat dengan menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar tidak mempunyai sokongan majoriti," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas tentang laskar siber pembangkang yang dikatakan sering berusaha menyebarkan khabar gempar dan cuba menjatuhkan kerajaan terutamanya selepas timbul isu peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi.
Bagaimanapun menurut Nabil, beliau yakin mana-mana menteri yang meletakkan jawatan, tidak akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen.
"Mereka juga menegaskan tidak menarik sokongan terhadap Datuk Seri Anwar, sebaliknya lebih berpegang kepada prinsip dalam tindakan mereka itu.
"Pembangkang lebih baik tumpukan bagaimana jadi pembangkang yang lebih baik daripada sibuk hal parti (lain) atau tentang hal kestabilan negara
"Lagipun saya lihat Sidang Kemuncak ASEAN berjalan seperti biasa, ekonomi bergerak seperti biasa malah semuanya masih bekerja seperti biasa," ujarnya lagi.
Semalam, Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang menerusi satu muat naik di Facebooknya menepis khabar angin berbentuk tangkap layar yang menyatakan beberapa Ahli Parlimen parti itu dikatakan telah menarik sokongan kepada Anwar selaku Perdana Menteri (PM).
Lih Kang menegaskan, perkara itu adalah sesuatu yang mengarut kerana Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan dalam Kabinet adalah untuk menjaga adab dan semangat demokrasi.
Comments