
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan biar pun menerima pelbagai pandangan kritikal namun tetap perlu dihormati.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan menamatkan prosiding perbicaraan adalah budi bicara pihak mahkamah.
"Permohonan DNAA daripada pihak pendakwaan untuk menamatkan prosiding sementara membuat siasatan lebih terperinci adalah budi bicara Peguam Negara dan diputuskan oleh mahkamah.
"DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara Tan Sri Idris Harun harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut," katanya dalam satu kenyataaan.
Beliau berkata, penjelasan Peguam Negara penting bagi memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.
"DAP juga akan sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah," katanya lagi.
Semalam, Zahid dilepas tanpa dibebaskan di atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
Keputuan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes itu selepas Zahid mengemukakan representasi terhadap Peguam Negara.
Katanya, keputusan itu memandangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan menyiasat lanjut dakwaan wujud pendakwaan terpilih dalam buku memoir bekas Peguam Negara Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness”.
DNAA bukanlah pembebasan penuh. Pendakwaraya masih boleh mendakwa Zahid sekali lagi menggunakan asas kes sebelum ini pada masa hadapan.