Lembaga Disiplin KEADILAN tegas tangani salah laku, guna saluran rasmi buat aduan
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menegaskan komitmennya untuk melaksanakan tanggungjawab secara adil dan telus dalam menangani aduan berkaitan masalah disiplin serta salah laku dalam kalangan anggota parti.
Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin KEADILAN, Datuk Zainol Samah, satu mesyuarat telah diadakan pada 10 Januari lalu bagi membincangkan aduan-aduan yang diterima berhubung pelanggaran peraturan dan Perlembagaan parti oleh anggota KEADILAN.
"Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat sentiasa komited untuk melaksanakan tugasnya dengan adil dan telus tanpa memihak kepada mana-mana pihak demi menjaga integriti dan nama baik parti," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan anggota parti yang ingin menyalurkan aduan berkaitan disiplin atau salah laku digesa berbuat demikian melalui saluran rasmi yang telah ditetapkan.
"Pihak Lembaga Disiplin Parti menyeru kepada anggota-anggota parti yang ingin menyalurkan aduan agar mengemukakannya ke alamat e-mel lembagadisiplin@keadilanrakyat.org atau menghubungi talian 03-7885 0530," katanya.
Dalam pada itu, Lembaga Disiplin KEADILAN turut mengingatkan semua anggota agar tidak menggunakan media sosial atau platform awam lain untuk menyebarkan aduan, dakwaan atau maklumat berkaitan parti.
"Penggunaan sebarang media termasuk media sosial untuk menyebarkan aduan atau dakwaan boleh menjejaskan reputasi parti serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan anggota," jelasnya.
Justeru, Zainol menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota yang didapati melanggar peraturan atau tatatertib parti.





