Lebih ramai mati akibat Denggi: MB Kedah jangan alih isu atau letak jawatan



Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah kesal dengan sikap Menteri Besar (MB) negeri itu, Muhammad Sanusi Mohd Nor yang cuba mengalih isu kelemahan pentadbirannya dengan perbandingan lebih banyak rakyat meninggal dunia akibat Denggi berbanding Covid 19.


Menurut Timbalan Ketua AMK Kedah, Aizuddin Ariffin (gambar atas, kanan), kenyataan Sanusi yang seolah-olah memperkecilkan bahaya wabak Covid 19 amat dikesali.


Katanya, sebagai MB, lebih wajar beliau menggunakan media untuk menerangkan langkah-langkah yang dibuat Kerajaan Negeri bagi memastikan Kedah bebas dari wabak Covid 19 berbanding mengalihkan tumpuan kepada penyakit lain.


"Menteri Besar dilihat sengaja mengalih isu atas kegagalan beliau mentadbir secara baik dan tuntas mengatasi masalah yang menimpa rakyat terutama soal keselamatan dan ekonomi, tatkala negeri ini berdepan musibah Covid 19.


"Sewajarnya Sanusi memperinci dan menerangkan kepada rakyat langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memutuskan rangkaian Covid 19, termasuk menyentuh soal ekonomi untuk mengurangkan keresahan rakyat.


"Saya mengkritik cara pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan MB Sanusi. Jika sikap sambil lewa ini terus dipamerkan, saya menggesa agar YAB Sanusi segera melepaskan jawatan sebagai MB Kedah," katanya dalam satu kenyataan.


Ariffin yang merupakan Ketua Penerangan AMK Malaysia turut tidak senang dengan kenyataan Sanusi yang membandingkan pesakit Covid 19 dan HIV.


Katanya, teguran beliau kononnya rakyat memandang serong pesakit Covid seperti mana pesakit HIV tidak wajar dikeluarkan oleh seorang pemimpin Kerajaan Negeri.


"Saya turut menyelar kenyataan MB Sanusi yang membuat tomahan kepada orang awam seolah olah mereka menghukum pesakit Covid 19.


"Tuduhan melampau ini adalah sangat tidak bertanggungjawab kerana melabel orang awam melihat pesakit yang positif Covid 19 dengan perspektif (seolah-olah) telah melakukan dosa," katanya lagi.


Dalam laporan media kelmarin Sanusi meningatkan orang awam agar tidak mengecam pesakit Covid 19 sebagaimana yang dihadapi Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri baru-baru ini.


Bagaimanapun, pendapat Sanusi itu dipertikaikan netizen kerana kecaman bukan dilakukan atas ke atas jangkitan penyakit tetapi sikap para menteri Kerajaan Perikatan Nasional yang tidak melakukan kuarantin kendiri setelah pulang dari Sabah sehingga merebakkan virus Covid 19 kepada rakyat yang tidak bersalah.


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio