Lebih enam bulan sejak serangan udara dan darat besar besaran rejim Israel ke atas umat Islam Gaza, keadaan semakin memburuk buat warga Palestin.
Sehubungan itu, Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek dalam perutusan takziah kepada pemimpin utama Gaza, Ismail Haniyeh, yang mana banyak anggota keluarga beliau terbunuh dalam serangan rejim semalam berharap agar warga Palestin terus tabah dan masyarakat dunia terus mengenakan lebih banyak tekanan ke atas rejim zionis.
"Tak sanggup mengungkapkan betapa terseksanya batin kita menerima khabar perkembangan di Gaza dan Palestin.
Sehinggakan sepanjang Ramadan dan pada sambutan Hari Raya Aidilifitri juga, genosid masih terus berlaku.
"Waima Majlis Keselamatan PBB sudahpun menyepakati resolusi gencatan senjata dan penghantaran bantuan kemanusiaan, tetap tidak menghalang rejim Israel daripada terus bermaharajalela.
"Bersabarlah warga Gaza dan Palestin. Rakyat Malaysia tetap bersama kalian, mendoakan, membantu sedaya mungkin, walau kami tahu usaha kami belum mencukupi.
"(Saya) turut menyampaikan salam takziah buat pimpinan perjuangan Shaykh Ismail Haniyeh dan keluarga, atas syahidnya anak-anak dan cucu beliau dalam peristiwa pembunuhan bersasar melalui pengeboman kereta pada Hari Raya Aidilfitri di Kem Pelarian Al-Shati, Barat Gaza," katanya di Facebook.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan mengimbau bahawa Shaykh Ismail Haniyeh sebelum ini pernah menyampaikan salam dan doa beliau buat seluruh warga pendidik dan anak-anak pelajar atas keberanian menyatakan sikap berkaitan isu Palestin dengan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di institusi pendidikan bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
Katanya, ujian berat yang menimpa rakyat Gaza biar pun mendapat tumpuan dunia sejak lebih 6 bulan lalu tetapi mereka telah menghadapi ujian sejak lebih tujuh dekad dan membuktikan kecekalan luar biasa mereka menempuh ujian.
"Tujuh dekad dalam penindasan dan penjajahan, namun terus bertahan dari generasi ke generasi.
"Mereka sudah tidak punya apa-apa lagi, harta benda dirampas, rumah dibom, sekolah dihancurkan, gedung perniagaan dirobohkan.
"Namun mereka terus bangkit. Mempertahankan maruah, hidup mulia dan mati syahid (mulia)," katanya lagi.
Comments