Lebih banyak perumahan mampu milik berkonsepkan Madani bagi menambah baik kemudahan asas kepada golongan B40 bakal dibina di ibu kota.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif mahu memastikan lebih banyak perumahan mampu milik dibina bagi mengurangkan kesempitan hidup golongan muda dan bawahan yang sukar memiliki kediaman.
Bercakap pada sidang media sempena hari pertama beliau memulakan tugasnya pada Khamis Dr Maimunah berkata, usaha itu bagi menjadikan ibu kota lebih selesa untuk didiami khususnya buat golongan muda.
"Saya mendapat banyak maklum balas termasuk dalam aspek perumahan mampu milik.
"Ini akan membantu menjadikan ibu kota menarik kepada golongan muda tempatan dan bakat global," katanya.
Dr Maimunah juga menyatakan nekadnya untuk menambah baik kemudahan asas di Kuala Lumpur.
Sementara itu tambahnya, amat penting untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar budaya dan kreatif. Pembangunan terancang serta mampan jelasnya dapat membantu memperkukuh warisan, identiti budaya, pembangunan ekonomi tempatan serta untuk menarik pelabur.
"Kita mesti memastikan dapat melindungi mata pencarian, meningkatkan kualiti hidup dan menjadikan bandar ini lebih berdaya tahan terhadap iklim ekstrem.
"Saya berharap mendapat kepercayaan anda supaya bersama-sama boleh menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar pintar yang berdaya tahan, mampan dan berpaksikan rakyat," katanya.
Comments