
Kerajaan Negeri Sembilan menghargai kakitangan awam dan rakyat di negeri itu pada tahun ini dengan menyediakan lebih banyak bantuan khas Hari Raya Aidilfitri.
Hal itu antara kandungan perutusan hari raya Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
"Di atas semangat Melunas Janji Menggalas Harapan yang dibawa pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah berjaya memanjangkan manfaat kepada lebih ramai penerima Bantuan Khas Aidilfitri.
"Antaranya Bantuan Khas Kerajaan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam sebanyak RM1,000 di samping sebelum ini Kerajaan Negeri memberikan BKK berjumlah satu bulan setengah gaji yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2023 yang lalu.
"Juga seperti tahun lalu, bantuan Aidilfitri kepada fakir dan miskin Negeri Sembilan ditambah sebanyak RM300 menjadikan golongan fakir menerima RM 1,000 dan miskin menerima RM800. Kerajaan Negeri menerusi MBI NS telah memperuntukkan RM1,615,296 untuk menambah bantuan Aidilfitri yang diberikan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan," katanya.
Selain itu tambah Naib Presiden KEADILAN tersebut, Kerajaan Negeri juga amat menghargai peranan pimpinan masyarakat yang menjadi penghubung dengan Kerajaan Negeri dengan Pengerusi dan Setiausaha MPKK menerima BKK Aidilfitri sebanyak RM1,000 bagi Pengerusi, dan RM600 bagi Setiausaha.
Manakala Ahli Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan bertaraf daerah di seluruh Negeri Sembilan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM1,000.
ADUN Sikamat itu juga berharap agar tarbiyah Ramadan yang mengimarahkan masjid dan surau pada setiap malam sepanjang sebulan lalu agar diteruskan pada bulan bulan lain.
"Besar harapan saya untuk melihat semangat Ramadan terus dipraktikkan dan masjid-masjid di Negeri Sembilan. Rumah ibadat terus diimarahkan sama seperti bulan Ramadan dengan kehadiran anak-anak muda yang menjadi kekuatan sesebuah umat," katanya lagi.