Lebih 9,000 doktor kontrak ditawar jawatan tetap pada 2027 – PM


Kerajaan akan menawarkan lebih 9,000 jawatan tetap kepada doktor kontrak pada 2027 sebagai langkah menoktahkan isu pelantikan doktor secara kontrak dalam perkhidmatan kesihatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sejak 2023, Kerajaan MADANI telah melantik lebih 15,000 doktor kontrak ke jawatan tetap, termasuk 4,000 orang pada tahun ini.
"Sukacita saya umumkan, isu doktor kontrak akan dinoktahkan.
"Bagi tahun 2027, lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan ke jawatan tetap. Bermakna, selepas ini, doktor yang berjaya menamatkan latihan siswazah akan ditawarkan jawatan tetap pegawai perubatan," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 petang tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata kerajaan turut meningkatkan kadar Bayaran Insentif Pos Basik daripada RM100 kepada RM200 sebulan bagi menghargai sumbangan 47,000 anggota paramedik dan jururawat.
Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju menaikkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100 susulan tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang yang mengorbankan petugas barisan hadapan.
Bagi mengurangkan tempoh menunggu pesakit mendapatkan rawatan, kerajaan meningkatkan peruntukan untuk menyumber luar pesakit ke hospital lain kepada RM200 juta.
Skop kerjasama turut diperluas dengan penggunaan fasiliti kesihatan swasta, termasuk dewan bedah, oleh sektor awam.
Selain itu, aturan perkhidmatan secara sessional bagi pakar kerajaan yang bersara dan pakar swasta akan dibuat dengan lebih anjal, manakala skop program diperluas meliputi saringan bayi baru lahir yang lebih menyeluruh (Expanded Newborn Screening), ujian genetik pranatal (Prenatal Genetic Testing) dan rehabilitasi.
Anwar berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meneruskan pelaksanaan projek Sistem Rekod Perubatan Elektronik di fasiliti kesihatan seluruh negara menerusi pelaburan RM1 bilion.
Dalam usaha memperluas perlindungan kesihatan mampu milik, kerajaan akan melancarkan Pelan MediAsas mulai Januari 2027.
Menurutnya, pelan itu menetapkan bayaran hospital berdasarkan jenis diagnosis dan rawatan bagi memastikan kos lebih terkawal serta mudah dijangka.
Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia bawah 55 tahun juga dibenarkan membayar premium MediAsas menggunakan Akaun Sejahtera.
Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai kurang daripada 75 pekerja, kerajaan akan mensubsidi premium tahun pertama sebanyak RM200 bagi setiap pekerja, terhad kepada 50 pekerja bagi setiap syarikat.
Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada sehingga 200,000 pekerja.
Dalam pada itu, Anwar berkata ketelusan kos rawatan swasta akan dipertingkatkan menerusi peluasan rekod perubatan elektronik berasaskan prinsip satu individu satu rekod.
Juga mulai 2027, bil hospital swasta akan menggunakan kategori caj yang seragam dan telus supaya pesakit dapat memahami setiap bayaran, selain mengurangkan herotan harga.
Kerajaan turut membangunkan portal e-CKAPS bagi membolehkan urusan pelesenan fasiliti kesihatan swasta dilaksanakan sepenuhnya dalam talian mulai 2027, dengan tempoh pemprosesan disasarkan berkurang sehingga 65 peratus.



Comments