Oleh: Abdullah Zaid
Kira-kira 400 penduduk di Taman Sentosa memenuhi Jelajah Ehsan Rakyat demi mendapatkan barangan mentah dengan harga yang rendah.
Jualan yang sentiasa mendapat permintaan itu, melibatkan kerjasama Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr. Gunaraj George selaku wakil rakyat di kawasan tersebut.
"Lebih 400 orang telah hadir membeli barangan dengan harga istimewa selain pelbagai jenis barangan keperluan harian telah dijual dan sambutan masyarakat tempatan amat menggalakan.
"Ucapan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan DUN Sentosa yang sentiasa di lapangan, usaha murni kerajaan negeri diteruskan dengan pelbagai inisiatif, bantuan dan subsidi bagi meringkankan beban masyarakat," katanya dalam menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Untuk rekod, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, memaklumkan program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 yang dilaksanakan mulai 15 Januari lalu mampu memberi manfaat kepada 800,000 penduduk Selangor.
Tambahnya, inisiatif di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kali kedua itu turut melibatkan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah).
Sejak Jelajah Ehsan Rakyat mula dilaksanakan pada Ogos tahun lalu, Kerajaan Negeri memperuntukan kira-kira RM 25 juta dibelanjakan bagi memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk Selangor.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Susulan sambutan menggalakkan, kerajaan negeri memperluaskan jualan barangan asas murah itu ke 1,200 lokasi berbanding tahun lalu.
Comments