Lebih 36,000 pemilih baharu, Daftar Pemilih dibuka untuk semakan
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 1 min read

Sebanyak 36,141 warganegara berusia 18 tahun ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu dalam Daftar Pemilih Tambahan Februari 2026 (DPT BLN2/2026).
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, daftar yang diperakukan pada 17 Mac itu turut merekodkan 14,129 pemilih bertukar bahagian pilihan raya serta 2,322 pemilih bertukar kategori atau status.
Menurut beliau menerusi satu kenyataan, DPT BLN2/2026 dibuka untuk semakan selama 30 hari bermula 18 Mac hingga 16 April.
"SPR menyeru semua warganegara yang layak serta pemilih terlibat supaya menyemak nama masing-masing.
"Sekiranya nama tidak disenaraikan, tuntutan boleh dibuat melalui Borang C sama ada secara dalam talian atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri," katanya.
Semakan boleh dilakukan melalui portal rasmi SPR, portal Pejabat Pilihan Raya Negeri, aplikasi MySPR, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau talian hotline SPR.
Sementara itu tambahnya, pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang berhasrat membuat bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D melalui aplikasi sama atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.
Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri melalui pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan bersama fi bantahan sepanjang tempoh semakan.




Comments