Lebih 35,000 murid prasekolah bakal dapat Menu Sihat Perpaduan 2026 - KPN
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Lebih 35,000 murid Tabika dan Taska Perpaduan di seluruh negara bakal menerima manfaat menerusi Program Generasi Cilik Perpaduan: Menu Sihat Perpaduan 2026 yang diperkenalkan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Program berkenaan dilaksanakan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya ibu bapa, mengenai kepentingan pemakanan sihat dalam pembinaan kesejahteraan sosial dan negara bangsa.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj yang menegaskan bahawa pemakanan sihat memainkan peranan penting dalam pembangunan generasi masa hadapan.
"Program ini dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terutama ibu bapa mengenai kepentingan pemakanan sihat sebagai asas kepada kesejahteraan sosial dan pembinaan Negara Bangsa yang mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh pembangunan modal insan sejak peringkat awal kanak-kanak," menurut kenyataan KPN.
Kata kenyataan itu lagi, program berkenaan turut menyokong aspirasi negara dalam memperkukuh pembangunan modal insan sejak peringkat awal kanak-kanak.
Manakala dalam ucapan perasmian itu, Yuneswaran berkata, pemakanan sihat merupakan pelaburan strategik buat generasi muda.
"Pemakanan sihat bukan sekadar isu kesihatan, tetapi merupakan pelaburan strategik dalam membina generasi masa hadapan yang berdaya saing dan bersatu padu.
"Melalui pendekatan ‘Perpaduan Melalui Kesihatan’, kita menyemai nilai perpaduan sejak usia muda selaras dengan kerangka Malaysia MADANI," katanya.
Kementerian juga mengumumkan tiga inisiatif utama iaitu pembangunan garis panduan mobilisasi ibu bapa di taska, pembekalan alat pengukuran tinggi dan penimbang berat digital kanak-kanak serta pengukuhan sistem pengumpulan dan analisis data pertumbuhan murid.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti turut diadakan melibatkan kanak-kanak, ibu bapa dan komuniti termasuk demonstrasi penyediaan menu sihat, pameran pendidikan pemakanan serta pengenalan konsep pemakanan seimbang “Suku-Suku Separuh”.
KPN menegaskan bahawa inisiatif tersebut diharap dapat membentuk generasi cilik yang lebih sihat, berdisiplin dan menghayati nilai perpaduan dalam kehidupan seharian.



Comments