Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang diadakan di perkarangan Hotel Raia di Alor Setar pada Sabtu berjaya mencapai sasarannya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan lebih 25,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis rumah terbuka Kerajaan Persekutuan itu
"Saya sempat buat tiga pusingan untuk melihat sendiri majlis, saya yakin sasaran 25,000 kehadiran pengunjung berjaya dicapai dalam tempoh empat jam dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir hari ini.
"Majlis rumah terbuka di Kedah ini merupakan program utama Perdana Menteri walaupun ia akan diadakan di lima lagi negeri yang lain dan ingin saya nyatakan bahawa tidak berlaku pembaziran kerana semua makanan seperti mi goreng, sate, dan lemang habis," katanya
Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah turut berkenan berangkat ke majlis dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta barisan Jemaah Menteri yang lain itu.
Penganjuran rumah terbuka itu sebelum ini dikritik oleh beberapa pemimpin pembangkang termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Sanusi Md Nor yang mendakwa ia satu pembaziran dan bermotifkan politik.
Walau bagaimanapun Pengerusi Perikatan Nasional Kedah itu hadir dan dilihat ceria serta turut beramah mesra dengan kepimpinan peringkat Pusat.
Sementara itu, Saifuddin berkata, kehadiran Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor yang mengiringi keberangkatan Sultan Sallehuddin turut dapat menguatkan semangat ukhwah dan muhibah walaupun berlainan fahaman politik.
"Ini menunjukkan kematangan orang politik untuk mengenepikan sebarang sentimen dan perbedaan dari segi politik. Pemimpin-pemimpin politik yang berbeda haluan ini boleh berada di platform yang sama seumpama merayakan Aidilfitri ini," katanya.
コメント