Lebih 24 laporan polis dibuat, desak tindakan tegas isu hina Sultan Selangor
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Lebih 24 laporan polis dibuat di Balai Polis Klang Selatan tengah semalam bagi mendesak tindakan tegas terhadap penularan kandungan media sosial yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Laporan tersebut diketuai Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Diraja Klang, Roy Nyaneswaran bersama Ahli-Ahli Majlis serta anggota KEADILAN Cabang Kota Raja.
Menurut kenyataan media, tindakan itu diambil susulan penularan satu akaun Facebook yang didakwa menghina institusi Diraja.
"Dalam sesi tersebut, lebih daripada 24 laporan polis telah dibuat bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sebuah akaun Facebook yang didakwa menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor," kata kenyataan itu.
Mereka menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai melampaui batas dan berpotensi menggugat keharmonian masyarakat.
"Tindakan tidak bertanggungjawab ini disifatkan sebagai satu perbuatan melampaui batas yang mencemarkan kemuliaan institusi Diraja serta berpotensi menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, isu berkenaan turut menyentuh sensitiviti melibatkan agama, kaum dan institusi Diraja (3R) yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
Sehubungan itu, mereka menggesa Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Kementerian Dalam Negeri menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tanpa kompromi.
"Kami menuntut agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan secara menyeluruh, adil dan telus, seterusnya mengambil tindakan undang - undang tanpa kompromi terhadap individu yang terlibat," menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, mereka menyeru orang ramai agar terus memelihara perpaduan serta tidak menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan kandungan berunsur provokasi.
"Kami turut menyeru seluruh rakyat agar terus memelihara persefahaman antara satu sama lain, menghormati institusi Diraja serta tidak menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan kandungan berbentuk provokasi, penghinaan atau kebencian," katanya.




Comments