Lebih 2,000 kandungan melanggar syarat diturunkan TikTok sepanjang tempoh PRU
- Suara Keadilan
- Dec 7, 2022
- 2 min read

Video yang melanggar syarat isi kandungan dan bersifat provokatif disahkan telah diambil tindakan oleh pihak pengendali platform media sosial TikTok secara automatik dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil, pihak pengandali TikTok telah memaklumkan kepada Kementerian lebih 2,000 video telah diturunkan sejak bulan November hingga Disember 2022 kerana tidak bersesuaian dengan peraturan syarikat pengendali.
"Saya ingin maklumkan dapatan yang kami terima dari platform media sosial TikTok. Iaitu statistik kandungan video yang telah dihalang oleh TikTok secara automatik, yang bersifat provokatif dan ekstrem terkait PRU lalu.
"Bagi tarikh 11 - 12 Nov, iaitu pra hari mengundi jumlah video yang dikekang secara automatik ialah 857 video.
"Pada hari mengundi 19 Nov sahaja, 130 video dihalang. Pasca pada 20 - 26 Nov sebanyak 1,126 video dihalang. Kekangan secara automatik ini saya difahamkan adalah bersandarkan kepada sistem kecerdasan buatan (AI) yang dipunyai TikTok sendiri.
"Tetapi dalam masa sama, dari maklumat yang kami terima dari 1 Jan hingga 5 Dis 2022 dari pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, juga memberi 202 aduan kepada TikTok bagi tujuan permohonan menurunkan video.
"Daripada 202 ini, 95 telah diturunkan kerana melanggar garis panduan TikTok manakala kandungan yang diturunkan kerana melanggar undang undang negara sebanyak 28. Jumlah kandungan tidak dikenakan tindakan pula sebanyak 79, itu antara maklumat yang telah disampaikan," katanya.
Menurut beliau lagi, pihak TikTok juga telah memaklumkan sejak PRU 15 mereka menghalang sebanyak lebih 1,000 kandungan sejurus menerima aduan dari SKMM serta lain lain badan atau agensi dalam negara.
"Hasil pertemuan dengan TikTok pada 5 Disember lalu di bangunan Kementerian, kami telah memulakan proses untuk memastikan kerjasama lebih erat di antara pengusaha media sosial dan pihak berkuasa.
"Tetapi kita juga ingin meneliti undang undang sedia ada bagi memastikan mana mana pengusaha platform media sosial bukan sahaja patuh kepada undang undang tetapi lebih bersifat responsif ke atas permohonan pihak berkuasa. Saya minta Datuk Seri KSU meneliti undang undang sedia ada bagi pastikan ianya lebih tegas.
"Kita ingin lihat pengurangan kandungan bersifat provokatif, terutama menyentuh 3R. Iaitu raja, agama dan isu perkauman," katanya lagi.
コメント