top of page

Lebih 1,000 individu terima manfaat program Selangor Mental Sihat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 2
  • 1 min read

Seramai 1,057 individu telah mendapatkan perkhidmatan Selangor Mental Sihat (SEHAT) sepanjang tahun lalu, sekali gus mencerminkan keperluan tinggi terhadap sokongan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.


Exco Kesihatan Awam Selangor, Jamaliah Jamaluddin (gambar) berkata, pelaksanaan program SEHAT merupakan respons Kerajaan Negeri terhadap peningkatan isu kesihatan mental pasca pandemik Covid-19, dengan tumpuan kepada golongan berisiko termasuk remaja, rakyat berpendapatan rendah dan warga emas.


"Isu kesihatan mental kini menjadi antara cabaran utama kesihatan awam yang memerlukan pendekatan menyeluruh, mudah diakses serta bebas stigma.


"Seramai 305 klien mendaftar bagi sesi kaunseling bersemuka antara Ogos hingga Disember 2025, manakala Talian SEHAT menerima sebanyak 672 panggilan sepanjang tahun lalu sebagai akses awal bantuan psikososial," katanya dipetik Selangorkini.


Program SEHAT dilancarkan sejak pandemik membolehkan orang ramai melakukan saringan awal kesihatan mental melalui penilaian kendiri melibatkan skala tekanan dan pemeriksaan risiko.


Setakat ini, sebanyak 11 pusat Kaunselor Hab SEHAT telah ditubuhkan meliputi kesemua sembilan daerah di Selangor.


Selain itu, Kerajaan Negeri menyediakan subsidi rawatan psikiatri dan psikologi sehingga RM1,000 bagi setiap individu di lima klinik panel, dengan 80 pendaftaran diterima antara Oktober hingga Disember 2025.


Jamaliah sementara itu menegaskan, Selangor merupakan antara negeri terawal yang memperkukuh sokongan kesihatan mental rakyat secara holistik dan inklusif.


"Peningkatan peruntukan sehingga RM1.5 juta membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan rentan, memperoleh perkhidmatan kesihatan mental secara percuma, cepat dan berkesan," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page