Lawatan rasmi ke Türkiye berjaya, manfaat langsung perdagangan, teknologi
- Suara Keadilan
- 34 minutes ago
- 2 min read

Kunjungan rasmi delegasi Malaysia ke Turkiye disifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai amat berjaya.
Menurut Anwar, kunjungan rasmi tersebut bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Türkiye merentasi pelbagai bidang strategik, malah membuka peluang baharu yang membawa manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara.
"Kunjungan rasmi ke Ankara dan Istanbul ini sangat berhasil, bukan sahaja dalam memperkukuh hubungan dua hala merentasi pelbagai bidang strategik, malah membuka peluang baharu yang membawa manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara," katanya dalam muat naik di media sosial mengiringi kepulangan delegasi Malaysia ke tanah air.
Beliau turut menegaskan bahawa Türkiye kekal sebagai rakan strategik penting Malaysia serta berperanan sebagai jambatan antara Timur dan Barat, berteraskan prinsip saling menghormati dan kepercayaan.
"Türkiye kekal sebagai jambatan strategik Timur dan Barat, serta rakan yang konsisten berteraskan prinsip, saling menghormati dan kepercayaan," ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden Recep Tayyip Erdoğan, isterinya Emine Erdoğan serta seluruh rakyat Türkiye atas layanan penuh keikhlasan dan kekeluargaan sepanjang lawatan rasmi tersebut.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jentera Wisma Putra dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, petugas keselamatan serta rakan-rakan media yang memastikan setiap atur cara berjalan lancar.
Sebelum berlepas pulang, Anwar dan delegasi Malaysia melaksanakan Misi Diplomasi MADANI ke Istanbul dengan menghadiri Mesyuarat Meja Bulat bersama pimpinan industri dan perniagaan Republik Türkiye.

Mesyuarat tersebut menghimpunkan 46 syarikat dari Malaysia dan Türkiye yang merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk pertahanan dan aeroangkasa, semikonduktor dan elektronik, automotif dan kenderaan elektrik, oleokimia serta industri halal.
"Kerjasama erat antara syarikat-syarikat Malaysia dan Türkiye menjadi pemangkin kepada kepesatan perdagangan, pelaburan serta pemindahan teknologi, sekali gus memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif," jelasnya.
Anwar turut mengalu-alukan lebih banyak syarikat Türkiye untuk memperluas dan meningkatkan pelaburan di Malaysia dengan memanfaatkan ekosistem pelaburan yang stabil, tenaga kerja berkemahiran serta kedudukan strategik negara sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.
"Kerajaan MADANI akan memudah cara urusan perniagaan melalui proses yang lebih cekap, telus dan mesra pelabur, demi memastikan setiap pelaburan yang direalisasikan memberi nilai tambah, limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan yang berkualiti kepada rakyat kedua-dua negara," katanya.
Antara dokumen kerjasama yang dimeterai dalam lawatan kali ini adalah, LoA perolehan sebuah Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2 antara Kementerian Dalam Negeri dan Desan Shipyard; MoU bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pihak Berkuasa Informasi dan Teknologi Komunikasi Republik Türkiye; MoU Kerjasama Penyelidikan antara Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan SETA Foundation dalam bidang politik, ekonomi dan sosial; MoU Kerjasama Kewangan antara EXIM Bank Malaysia dan Türk Eximbank; MoU Kerjasama Pelaburan antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Türkiye; Pertukaran Minit Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia–Türkiye; dan Deklarasi Bersama mengenai penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC).





