Lawatan PMX ke tiga negara Afrika buka peluang ekonomi baharu
- Suara Keadilan

- Dec 7, 2025
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) ke tiga negara Afrika baru-baru ini disifatkan sebagai langkah strategik membuka semula laluan diplomatik dan mengukuhkan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan benua itu.
Timbalan Pengerusi TalentCorp, Mohd Khuzzan Abu Bakar (gambar) berkata lawatan ke Addis Ababa, Ethiopia; Johannesburg, Afrika Selatan dan Nairobi, Kenya memperlihatkan pendekatan komprehensif Malaysia dalam meneroka peluang pelaburan baharu merangkumi teknologi, tenaga dan komoditi.
Beliau berkata pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa selepas lebih 42 tahun merupakan perkembangan penting yang akan memanfaatkan hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan termasuk Khazanah Nasional Berhad, Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia.
"Ethiopia merupakan antara pengeluar kopi terbesar dunia, dan hubungan baik di peringkat kepimpinan membuka ruang kepada transformasi kerjasama ekonomi yang lebih erat.
"Kehadiran Perdana Menteri di Johannesburg sempena mesyuarat G20, Mohd Khuzzan berkata jemputan tersebut mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap peranan Malaysia selaku wakil promosi ASEAN 2025.
"Peluang bagi GLC Malaysia seperti Petronas dan TNB untuk memperluaskan kerjasama dan pembangunan tenaga di Afrika Selatan adalah signifikan dan berpotensi besar kepada ekonomi negara," kata Mohd Khuzzan kepada Suara Keadilan.
Sementara itu, mengenai lawatan PMX ke Nairobi, beliau berkata kewujudan laluan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan ibu negara Kenya itu boleh dimanfaatkan sebagai pintu masuk pelajar-pelajar Afrika ke institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di Malaysia.
"Selain sektor pendidikan, peluang penerokaan dalam bidang cari gali minyak di Kenya juga memerlukan perhatian khusus," katanya.
Bagi Khuzzan, strategi lawatan ke tiga negara di timur, barat dan selatan Afrika itu menunjukkan perancangan menyeluruh dalam meneroka pasaran baharu yang selama ini kurang diterokai pemain industri Malaysia.
Beliau turut menyatakan bahawa reputasi PMX di peringkat antarabangsa menjadi faktor penting menarik keyakinan pelabur luar.
"Orang tak nampak, tetapi inilah strategi mengawal laluan ekosistem ekonomi Afrika secara menyeluruh. PMX ada aura tersendiri dalam diplomasi dan keyakinan itu diterjemahkan melalui angka FDI seperti Johor yang mencatat RM91 bilion tahun ini," katanya.
Menurut beliau lagi, keyakinan pemimpin dan syarikat luar terhadap Malaysia kini jelas apabila lebih banyak kerjasama perniagaan dan pelaburan dilihat hasil hubungan yang dibina PMX melalui jelajah luar negara.
"Lawatan ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan diplomatik, malah memberi keyakinan kepada pelabur asing terhadap kemampuan Malaysia sebagai sebuah negara membangun yang kompetitif," katanya.
Beliau berkata keberkesanan hubungan diplomatik yang dibentuk menerusi lawatan luar negara menjadi antara faktor peningkatan keyakinan pelabur, termasuk aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri-negeri seperti Johor.
Dalam pada itu, Khuzzan yang juga anggota Majlis Pimpinan KEADILAN Johor menggesa pemain industri, teknokrat serta syarikat Malaysia mula menapak di Afrika memandangkan “pintu telah dibuka”.
"Kita bukan sahaja perlu menunggu peluang datang, tetapi masuk ke pasaran Afrika dan kenal pasti potensi itu sendiri," katanya menjelaskan keyakinan bahawa kerjasama rentas Afrika akan menjadi sumber pertumbuhan baharu Malaysia jika disambut oleh GLC, SMI dan pelabur swasta.




Comments