Lawatan PMX ke Maldives suntik momentum baharu hubungan dua hala


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Maldives pada 14 hingga 15 September 2026 atas undangan Presiden Republik Maldives, Tuan Yang Terutama Dr Mohamed Muizzu.
Lawatan berkenaan dijangka menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Maldives yang telah terjalin sejak 1968, selain meneroka peluang kerjasama baharu dalam sektor strategik.
Dalam lawatan itu, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Fokus kerjasama pelbagai bidang
Perdana Menteri dijadualkan menerima sambutan rasmi sebelum mengadakan mesyuarat dua hala bersama Presiden Dr. Mohamed Muizzu.
Mesyuarat tersebut akan menilai kerjasama sedia ada serta membincangkan inisiatif bagi memperkukuh hubungan Malaysia-Maldives, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan; pendidikan; perkhidmatan kesihatan; integrasi digital; pembinaan kapasiti; pelancongan dan pembangunan mampan.
Kedua-dua pemimpin turut dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Dua MoU bakal dimeterai
Susulan mesyuarat dua hala itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang Kerjasama Pertahanan dan Hal Ehwal Islam.
Presiden Dr Mohamed Muizzu turut dijadualkan meraikan Perdana Menteri dalam satu Majlis Jamuan Negara.
Hubungan ekonomi kedua-dua negara turut menunjukkan asas yang kukuh.
Pada 2025, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Maldives direkodkan sebanyak RM762.78 juta (USD185.5 juta), dengan Malaysia mencatatkan lebihan perdagangan sebanyak RM751.67 juta (USD182.8 juta).
Maldives juga kekal sebagai rakan dagang keenam terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan, selain menjadi antara destinasi eksport penting bagi Malaysia.
Lawatan rasmi ini dijangka memberikan momentum baharu kepada hubungan Malaysia-Maldives serta memupuk pertumbuhan jangka panjang melalui kerjasama dalam bidang yang memberi manfaat bersama.




Comments