top of page

Lawatan PMX ke Afrika buka pasaran, kukuh peranan Malaysia di Selatan Global

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 1
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) ke Afrika Selatan, Kenya dan Ethiopia baru baru ini disifatkan sebagai langkah strategik untuk meneroka pasaran ekonomi baharu di rantau yang sedang berkembang pesat, sekali gus memperkukuh pengaruh politik Malaysia dalam kelompok Selatan Global.


Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Profesor Dr Azmi Hassan (gambar) berkata, pendekatan Perdana Menteri itu menunjukkan perubahan besar dalam strategi diplomasi ekonomi Malaysia yang sebelum ini lazimnya tertumpu kepada pasaran negara maju.


Hal itu, katanya, boleh mengembangkan lagi pasaran produk Malaysia yang agak terjejas akibat tarif dikenakan oleh Amerika Syarikat pada waktu ini.


"Lazimnya untuk mendapatkan pasaran, negara atau pemimpin akan lebih memberi perhatian kepada negara maju. Tetapi Perdana Menteri mempunyai pandangan berbeza — beliau melihat potensi Afrika.


"Afrika sedang berkembang pesat. Mereka memerlukan teknologi telekomunikasi, infrastruktur, pendidikan dan pelbagai bidang yang Malaysia sebenarnya mampu sumbangkan.


"Selama ini kelompok ini agak disisihkan. Lawatan PMX membuka ruang baharu bukan sahaja dari segi perdagangan tetapi juga kerjasama strategik yang mencipta situasi menang-menang," kata Dr Azmi kepada Suara Keadilan.


Menurutnya, Anwar melihat potensi besar Afrika sebagai blok ekonomi meningkat, selain memahami keperluan negara-negara tersebut terhadap teknologi dan kepakaran yang Malaysia miliki.


Beliau menegaskan bahawa negara-negara Afrika sudah lama berusaha muncul sebagai pemain ekonomi yang lebih penting, terutama dengan penyertaan beberapa negara seperti Afrika Selatan dalam BRICS dan G20, namun rantau itu masih kurang diberi perhatian oleh banyak kuasa besar.


Mengulas kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, Dr Azmi berkata Anwar secara konsisten menegaskan prinsip neutral, tidak memihak kepada blok Barat mahupun China.


"Malaysia mahu berkawan, bergeopolitik dan berdagang dengan semua negara walaupun mereka berseteru antara satu sama lain. Ini satu pendekatan yang matang dan pragmatik," katanya menjelaskan pendekatan itu memudahkan Malaysia menjadi jambatan kerjasama antara rantau Asia Tenggara dan benua Afrika.


Dalam pada itu Dr Azmi turut menyatakan bahawa peningkatan interaksi Malaysia dengan negara-negara Selatan Global akan menaikkan profil negara sebagai pemain diplomatik yang berpengaruh.


Katanya, lawatan Anwar ke Afrika disifatkan sebagai langkah awal membuka pasaran baharu bagi syarikat Malaysia terutama dalam sektor teknologi digital, infrastruktur, telekomunikasi, pendidikan, pembangunan tenaga hijau dan karbon rendah.


Dengan potensi besar yang ditawarkan ke rantau Afrika, Dr Azmi percaya lawatan itu meletakkan Malaysia pada landasan lebih kukuh dalam membina rangkaian ekonomi dan geopolitik global.


"Ini menaikkan imej Malaysia sebagai negara kecil, negara Islam, tetapi mampu memupuk kerjasama menang-menang di peringkat global.


"Inilah kerjasama strategik yang membuka peluang untuk kedua-dua pihak, Malaysia mendapat pasaran baharu dan Afrika mendapat teknologi dan kepakaran," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page