Lawatan PM ke Rusia, Turkmenistan kukuh kedudukan dalam sektor tenaga global
- Akmal Manaf

- 1 day ago
- 1 min read

Kejayaan lawatan rasmi Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kazan, Rusia dan Ashgabat, Turkmenistan disifatkan sebagai satu pencapaian strategik yang bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor tenaga global, malah menjamin keterjaminan bekalan tenaga negara serta membuka ruang kepada pulangan ekonomi jangka panjang yang bakal dinikmati rakyat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, kerjasama yang dicapai di Kazan melibatkan aspek keterjaminan bekalan tenaga negara khususnya minyak mentah, gas asli dan diesel bagi tempoh jangka panjang sehingga 20 tahun, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan.
"Manakala bagi lawatan PM Anwar ke Ashgabat ia merupakan satu kejayaan yang luar biasa memandangkan dua telaga gas yang telah diberi untuk dikelolakan oleh pihak Petronas (bakal) meletakkan Petronas sebagai salah satu pengusaha gas antara yang terbesar di dunia.
"Kesan daripada kejayaan ini, sudah pasti amat membanggakan bukan hanya atas usaha Petronas yang telah berada di Turkmenistan lebih 30 tahun, tapi juga untuk rakyat Malaysia.
"Yang mana hasil dan pulangan daripada usaha Petronas ini, akan dapat dinikmati sama ada melalui dividen yang akan dipulangkan dan dapat dimanfaatkan dalam usaha pembangunan negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet yang diadakan di Putrajaya hari ini.




Comments