Lawatan PM ke Rusia, Turkmenistan jamin bekalan minyak, tenaga negara
- Akmal Manaf

- Jun 22
- 2 min read

Misi Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia dan Turkmenistan bukan sebagaimana ditanggapi sinis pengkritik atau pembangkang, sebaliknya bertujuan memastikan Malaysia mempunyai akses kepada sumber minyak dan gas yang lebih kukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat pada masa depan.
Ketua Cabang KEADILAN Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar) berkata, negara yang tidak mempunyai jaminan bekalan tenaga yang kukuh berisiko berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi.
Beliau berkata, kenaikan harga minyak dunia akan menyebabkan kos pengangkutan meningkat, seterusnya memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan, dan akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban peningkatan kos sara hidup tersebut.
"Sebab itu lawatan ke Rusia dan Turkmenistan bukan sekadar lawatan diplomatik yang biasa, (tetapi) ia adalah usaha untuk memastikan negara kita mempunyai akses yang lebih kukuh kepada sumber minyak dan gas pada masa hadapan.
"Di Kazan, Rusia PM Anwar bertemu dengan pemimpin-pemimpin utama dunia, fokusnya jelas (iaitu) Malaysia mesti mempunyai hubungan yang baik agar kita tidak terlalu bergantung kepada satu sumber (minyak di Timur Tengah) sahaja," katanya dalam satu siaran video menjelaskan pertanyaan-pertanyaan yang timbul berhubung lawatan berkenaan.
Selepas itu, kata Shamsul, PM Anwar yang juga Presiden KEADILAN meneruskan lawatan ke Turkmenistan, sebuah negara yang memiliki antara rizab gas asli terbesar di dunia, dan memainkan peranan penting dalam pasaran tenaga global.
Menurut Shamsul lagi, lawatan tersebut turut mencerminkan pendekatan diplomasi yang dibawa PM Anwar iaitu menjalinkan hubungan baik dengan semua negara berdasarkan kepentingan strategik dan ekonomi Malaysia.
"Malaysia terus memperkukuh kerjasama dengan negara Barat dalam bidang teknologi dan pelaburan, mengeratkan hubungan dengan China dalam sektor perdagangan, serta membina kerjasama strategik dengan Rusia dan negara-negara Asia Tengah bagi memperkukuh jaminan bekalan tenaga negara.
"Apa rakyat dapat daripada lawatan ini? Rakyat mendapat jaminan keselamatan tenaga, mendapat peluang pelaburan yang baharu dan rakyat akan mendapat perlindungan ekonomi yang lebih kukuh untuk masa depan," ujar beliau lagi.




Comments