top of page

Lawatan PM ke Rusia jadi jambatan antara kuasa besar - Dr Awang Azman

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 16 minutes ago
  • 2 min read


Oleh: Akmal Manaf


Lawatan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia, salah satu anggota pengasas kerjasama BRICS merupakan satu percaturan strategik dalam dunia multipolar.


Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, langkah berkenaan dijangka mampu membuka ruang baharu untuk meningkatkan pengaruh Malaysia di persada antarabangsa selagi ianya disokong naratif nasional yang konsisten, kebijaksanaan geopolitik, dan kekuatan institusi domestik.


Menurut beliau, dari segi ekonominya Malaysia akan mendapat dukungan yang kuat dalam menghadapi ketidakadilan perdagangan sama ada dalam isu tarif Amerika Syarikat atau dasar sepihak lain dari kuasa Barat.


Bagaimanapun katanya, pendekatan tersebut perlu diambil secara berhati-hati serta menganalisis daripada segi kos dan manfaat.


''BRICS (Brazil, Rusia, India, China, South Africa) dan negara-negara yang menyertainya seperti UAE, Iran dan Mesir menawarkan platform alternatif kepada sistem kewangan dan perdagangan yang didominasi Barat.


''Dari segi kelebihannya tiada ketidakadilan tarif seperti yang dikenakan AS. Sebagai contoh AS mengenakan tarif ke atas sarung tangan, produk besi Malaysia, dan cadangan tarif teknologi.

Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi
Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi

''Kelebihan lain pula adalah peluang pelaburan dua hala dan akses kepada pasaran besar seperti Rusia, China dan India yang membuka potensi eksport produk pertanian, produk halal, tenaga, dan digital.


''Selain itu, terdapat juga pilihan pembiayaan alternatif melalui New Development Bank (NDB), yang tidak seketat Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) atau Bank Dunia dari segi syarat politik,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.


Namun menurut Dr Awang Azman, terdapat pula beberapa cabaran antaranya berkaitan risiko geopolitik dan sekatan sekunder.


''Contohnya lawatan ke Rusia akan dilihat tidak neutral oleh AS dan Kesatuan Eropah yang boleh menjejaskan pelaburan langsung asing (FDI) dan perdagangan dengan blok Barat.


''Cabaran lain adalah ketidakseimbangan kuasa dalam BRICS. China sangat dominan dan Malaysia boleh jadi sekadar 'pemerhati' jika tidak pandai memposisikan diri.


''Jadi cadangan strateginya ialah Malaysia sepatutnya menggunakan pendekatan 'selective multilateralism', menyertai kerjasama BRICS untuk manfaat ekonomi dan strategi 'hedging', tanpa memutuskan hubungan dengan G7 atau ASEAN.


''Malaysia mesti menjadi ‘jambatan’ antara kuasa besar, bukan terperangkap dalam salah satu paksi kuasa dunia,'' ujar beliau lagi.


Untuk rekod, PM melakukan lawatan kerja selama tiga hari ke Rusia pada 13 - 16 Mei atas jemputan Presiden Vladimir Putin dalam usaha meningkatkan hubungan diplomatik Malaysia–Rusia meliputi beberapa program di Moscow dan Kazan, Tatarstan, termasuk pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya, Perdana Menteri Mikhail Mishustin.


PM disertai beberapa menteri kabinet, antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Li Kang; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page