Lawatan PM ke Arab Saudi berjaya - Setiausaha Politik
- Redzuan Shamsudin

- Mar 26, 2023
- 2 min read

Lawatan Perdana Menteri (PM) Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim biar pun dikritik pembangkang PN sebagai gagal namun hakikatnya amat berjaya dalam meningkatkan hubungan politik dan ekonomi.
Setiausaha Politik PM, Ahmad Farhan Fauzi yang turut sama dalam delegasi Malaysia berkata, lawatan tersebut telah memberi kesempatan kepada Anwar bertemu serta berucap kepada pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan badan Liga Muslim Dunia, yang tidak pun mampu dilakukan oleh bekas PM Mahiaddin Yassin ketika melawat Arab Saudi hampir 3 tahun lalu.
"Saya maklum terhadap suara-suara dari beberapa pihak berkepentingan yang sengaja mempolitikkan isu lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi baru-baru ini.
"Saya terpanggil untuk menjelaskan perkara ini tatkala saya turut bersama dalam delegasi bersama Perdana Menteri ke sana.
"Jadual PM sangat padat dan tersusun di mana beliau mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan badan Liga Muslim Dunia di Makkah selain menyaksikan beberapa pemeteraian MoU penting melibatkan lapangan perniagaan dan industri selain menekuni beberapa permasalahan mendesak yang merundung dunia Arab dan Islam, juga sempat menyantuni komuniti serta mahasiswa Malaysia di Arab Saudi.

"Meski cubaan mereka untuk menggariskan lawatan berkenaan sebagai satu kegagalan dan pembaziran dana rakyat, saya ingin menegaskan lawatan tersebut sangat berhasil, malah memperkukuh hubungan Putrajaya-Riyadh meski dalam tempoh yang singkat PM di tampuk pemerintahan," katanya dalam kenyataan.
Tegas Farhan lagi, tidak bertemunya Anwar dan Raja Salman Abdulaziz al Saud bukan bermakna pihak Kerajaan Arab Saudi tidak sudi mengadakan pertemuan sebagaimana hujah ahli politik PN, tetapi kerana Anwar menolak permintaan mereka untuk memperpanjangkan lawatan kerana kepadatan jadual.
"PM terpaksa menolak secara baik kerana beliau telah dijadualkan untuk hadir ke majlis berbuka puasa bersama KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam.
"PM juga akan melakukan kunjungan rasmi ke Phnom Penh, Cambodia Isnin ini, seterusnya Hainan dan Beijing pada Rabu bagi bertemu Presiden Xi Jinping dan rakan sejawatnya Premier Li Qiang," katanya.
Sehubungan itu, Farhan menggesa pihak yang kontang idea dan bankrap isu itu untuk menghentikan polemik lawatan Anwar ke Arab Saudi.
Sebaliknya, Farhan menyeru agar semua pihak menyokong usaha Kerajaan Perpaduan memperkukuh imej Malaysia di mata dunia selain memantapkan kerjasama dan hubungan luar.




Comments